Tahu garis pandu hadapi kebakaran

Tahu garis pandu hadapi kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Nilai anggaran kerugian kebakaran rumah dan bangunan bagi tahun 2013 hingga 2015 mencapai kira-kira $9.2 juta, manakala nilai yang berjaya diselamatkan adalah hanya kira-kira $8.9 juta.

Daripada perangkaan itu, ia bererti adalah amat susah untuk membangun semula tanpa mengeluarkan wang, masa dan tenaga, kata Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Tiga punca kebakaran teratas yang dilaporkan oleh Unit Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat adalah disebabkan oleh elektrik iaitu lebih beban (overload), kepanasan berlebihan (overheat), litar pintas (short circuit) dan penyambungan yang longgar (loose connection), masakan yang ditinggalkan serta saluran hos gas yang longgar atau bocor, jelasnya lagi ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Keselamatan Kebakaran 2016 yang berlangsung di Mes Pegawai, Dewan Serba guna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, hari ini.

Haji Idris berkata lagi, “Risiko kebakaran dapat dikurangkan jika langkah-langkah yang khusus dipraktikkan bukan hanya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat malah oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta khususnya pengurus bangunan demi kesejahteraan awam.”

Haji Idris menekankan agar semua agensi kerajaan dan swasta untuk mengamalkan budaya memelihara segala alat keselamatan kebakaran secara bersistematik untuk mengawal dan membendung kejadian kebakaran di bangunan-bangunan secara efektif.
Haji Idris menekankan agar semua agensi kerajaan dan swasta untuk mengamalkan budaya memelihara segala alat keselamatan kebakaran secara bersistematik untuk mengawal dan membendung kejadian kebakaran di bangunan-bangunan secara efektif.

Antara amalan terbaik bagi pengurus bangunan adalah dengan memastikan setiap bangunan perlu mempunyai pelan keselamatan kebakaran yang menyeluruh iaitu komprehensif dan ia juga perlu dikaji serta diuji dari semasa ke semasa serta harus memenuhi peraturan terkini, jelas beliau.

“Keselamatan kebakaran atau fire safety mungkin merupakan bidang yang paling penting yang mana seorang pengurus bangunan (juga dikenali sebagai pengurus fasiliti, pengurus estet atau pemilik bangunan) adalah orang yang perlu mempunyai pengetahuan mengenai pelbagai topik, termasuk operasi, ujian dan pemeriksaan keperluan dan dasar serta prosedur.”

Beliau berkata pengurus bangunan secara khususnya, perlu tahu sekurang-kurangnya sedikit tentang Sistem Pemercik dan Sistem Penggera Kebakaran serta mempunyai pengetahuan mengenai latihan kebakaran, perancangan kecemasan, pengemasan dan amalan pengurusan (housekeeping) serta ciri-ciri jalan keluar kebakaran bangunan.

Di samping itu, pengurus bangunan juga perlu memastikan pelbagai sistem keselamatan kebakaran kerap diperiksa yang mana ulas Haji Idris, terdapat beberapa kontraktor atau pembekal sistem keselamatan kebakaran yang diiktiraf oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat yang boleh dirujuk bagi perkhidmatan penyelenggaraan sistem kebakaran.

“Sebagai contoh, kontraktor mengetahui akan jangka hayat seperti alat pemadam api serta spesifikasi yang mengikut piawaian (standard).

“Jika semua agensi kerajaan mahupun swasta mengamalkan budaya memelihara segala alat keselamatan kebakaran secara bersistematik (Systematic Preventive Maintenance), saya percaya kebakaran-kebakaran yang berlaku di bangunan-bangunan dapat dikawal dan dibendung dengan lebih efektif.”

ARTIKEL YANG SAMA