Tahun Kewangan 2016/2017 mencabar

Tahun Kewangan 2016/2017 mencabar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Tahun Kewangan 2016/2017 adalah merupakan tahun yang paling mencabar bagi pengurusan kewangan Negara Brunei Darussalam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim (gambar), ini kerana realitinya belanjawan negara dijangka akan berterusan mengalami defisit.

“Ke arah itulah, bagi memastikan keadaan ini ditangani secara efektif dan terurus, kerajaan perlu meneruskan dasar fiskal berdaya tahan yang diamalkan dengan merencana, merangka dan melaksana langkah-langkah fiskal dengan sebaik mungkin, demi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk serta ekonomi negara akan terus dapat dipelihara bukan sahaja bagi manfaat generasi masa kini akan tetapi juga generasi-generasi yang akan datang.”

Yang Berhormat Pehin menyatakan demikian dalam ucapan penangguhannya dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

pg04_160323_a pg03_160323_MMN_Logo

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan harga minyak dunia yang telah menurun secara merudum sejak pertengahan 2014 yang mana sehingga masa ini pun, masih rendah dan terus mengalami ketidaktentuan yang sukar diramal.

“Oleh itu, sebagai langkah beringat-ingat dan berwaspada, jika terdapat keperluan kerajaan, akan mengambil langkah-langkah lanjut dalam memastikan perbelanjaan kerajaan akan sentiasa dalam kemampuan kewangannya dan mapan bagi jangka masa panjang supaya kehidupan rakyat dan penduduk negara ini terutama golongan yang berpendapatan rendah dan yang memerlukan akan sentiasa terpelihara.”

Yang Berhormat Pehin berkata, dengan kepimpinan bijaksana dan berpandangan jauh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dasar fiskal mapan (Fiscal Sustainabilty) dan fiskal bersatu (Fiscal Consolidation), yang diamalkan secara berterusan selama ini telah membolehkan negara untuk meneruskan rancangan dan program pembangunannya walaupun dalam kesederhanaan dan bajet yang lebih rendah.

Beliau berkata bahawa langkah berhemah itu perlu diutamakan dan diteruskan memandangkan realiti semasa yang dialami oleh ekonomi global dan negara pada ketika ini.

“Oleh itu, corak dan keutamaan perbelanjaan perlu dirationalised dan diseimbangkan bagi memberi laluan kepada program-program dan perancangan yang menjurus kepada mempelbagaikan sumber ekonomi dan memperluaskan asas pendapatan negara dengan tidak menjejaskan kesejahteraan, keperluan dan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan penduduk negara ini.”

Dalam erti kata yang lain, tambah Yang Berhormat Pehin, fokus kita perlu ditumpukan kepada memperkembangkan sektor perniagaan dan pelaburan agar sektor swasta ini akan menjadi jentera peneraju pertumbuhan ekonomi yang diharap akan dapat menyumbang kepada peningkatan pelaburan modal dan menjana lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak-anak tempatan yang pada waktu ini, peranan ini masih banyak dipikul oleh perbelanjaan kerajaan.

“Untuk itu, usaha-usaha akan terus dipertingkatkan bagi membina asas atau pun fundamental ekonomi negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan yang kurang bergantung pada perbelanjaan kerajaan dan sektor minyak dan gas.”

Bagi mencapai matlamat dasar itu, kerajaan akan berterusan berusaha menyediakan persekitaran atau iklim perniagaan dan pelaburan yang lebih kondusif.

“Setakat ini, menerusi Unit PENGGERAK dan Majlis Tertinggi Wawasan 2035, yang kedua-duanya diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, organisasi ini telah bekerja rapat dengan agensi-agensi kerajaan untuk memudah cara aktiviti-aktiviti ekonomi melalui inisiatif ease of doing business supaya ia lebih pro-pertumbuhan, pro-business dan pro-pelaburan.”

Di samping itu, jelasnya lagi, berbagai-bagai reformasi bagi menggalak dan mengukuhkan lagi pertumbuhan sektor swasta terutama pengusaha mikro, kecil dan sederhana dan juga dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini telah dan berterusan akan dilaksanakan.

“Usaha menarik lebih banyak FDI ini adalah merupakan salah satu strategi utama kerajaan untuk membangun asas ekonomi negara yang lebih kukuh, berdaya maju dan berdaya tahan.

“Pelaburan langsung asing dijangka akan membantu dalam meningkatkan lagi sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), di samping memberikan spin-off ataupun kesan limpahan yang dapat mendukung usaha mempelbagaikan ekonomi negara.

“Ini termasuklah dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti pada anak-anak tempatan, pemindahan teknologi dan kemahiran, membuka peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, meningkatkan permintaan tempatan, meningkatkan eksport negara, mengenalkan inovasi terkini yang dapat di komersialkan dan lain-lain.”

Selain itu, Yang Berhormat Pehin berkata ia diharap dapat mengisi jurang yang timbul daripada langkah pengawalan perbelanjaan kerajaan melalui peningkatan pelaburan modal daripada pihak swasta.

Setakat ini, inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan baik dari segi penjimatan perbelanjaan mahupun yang berkaitan dengan usaha pempelbagaian ekonomi negara telah menunjukkan pencapaian yang menggalakkan walaupun sebahagian hasil tersebut, hanya akan dirasai dalam jangka sederhana dan panjang.

“Namun demikian, inisiatif-inisiatif ini hanyalah sebahagian usaha-usaha awal untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi business dan pelaburan yang lebih menarik, kompetitif dan berdaya maju.

“Kerajaan akan berterusan memperkenalkan lagi banyak perubahan yang akan dapat membantu meningkatkan daya saing negara dan berterusan memelihara kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.”

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Pehin berkata resipi kejayaan bagi perkara-perkara yang dinyatakannya itu, akan memerlukan semua pihak selaku rakyat dan penduduk negara, dalam apa jua peringkat kehidupan untuk bersatu hati, bekerja keras dan bersatu padu, berdiri teguh, menyokong dan mendukung dasar-dasar kerajaan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam apa jua keadaan, jika kita ingin melihat reformasi ekonomi itu, akan berjaya kita laksanakan.

“Sumbangan rakyat, sekecil mana pun bentuknya adalah amat bermakna bagi negara, dalam mengharungi cabaran pada masa ini. Rakyat yang berdiri teguh di belakang kerajaan akan mampu merubah apa jua halangan dan rintangan dan berjaya menjadikan cabaran sebagai peluang keemasan serta mampu menghasilkan kreativiti, motivasi, produktiviti dan inovasi yang tinggi.”

Beliau juga menyatakan kesyukuran dan perasaan bangganya kerana sekarang kita telah mempunyai ramai belia-belia tempatan yang sanggup mengharungi cabaran-cabaran itu dengan melibatkan diri dalam perniagaan secara berdikari tanpa banyak bergantung harap kepada bantuan-bantuan kerajaan.

Usahawan-usahawan generasi baru yang bersikap positif dan berani meneroka bidang-bidang baru ini diharap akan menjadi pemangkin lebih ramai lagi belia-belia yang lain, yang akan menceburkan diri di alam perniagaan.