TAIB adakan latihan kebakaran

TAIB adakan latihan kebakaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Sebagai usaha melengkapkan kakitangannya dengan pengetahuan dan meningkatkan masa tindak balas dalam situasi kecemasan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) semalam telah menjalankan latihan kebakaran yang memfokuskan ke atas pengosongan bangunan Ibu Pejabat TAIB di ibu negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, senario menyaksikan kebakaran berlaku di dalam bangunan berkenaan dan ketua marsyal bomba TAIB dengan segera bertindak menyelaraskan prosedur tindak balas kecemasan dan memaklumkan agensi-agensi berkaitan.

Dalam masa beberapa minit, semua kakitangan, pelanggan dan pelawat berjaya dipindahkan dengan selamat daripada bangunan berkenaan di bawah arahan marsyal bomba TAIB yang terlatih.

Tidak lama kemudian, anggota bomba dan penyelamat tiba untuk mengawal kebakaran dan menyelamatkan mereka yang cedera.

Antara warga TAIB yang menyertai latihan kebakaran tersebut.
Antara warga TAIB yang menyertai latihan kebakaran tersebut.

Ketua Risiko Operasi, Hajah Fatimah binti Haji Masri memberitahu bahawa latihan berkenaan merupakan peluang bagi para kakitangan menunjukkan bahawa mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab keselamatan kebakaran dan pemindahan dengan selamat dan cekap, di bawah situasi kebakaran.

Ia juga penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan mengenai strategi-strategi yang dilaksanakan dengan menggunakan ciri-ciri keselamatan bangunan berkenaan bagi melindungi orang di bawah jagaan mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, latihan berkenaan lebih daripada sekadar latihan yang direka untuk menilai pelan-pelan keselamatan kebakaran/pengosongan bangunan serta program-program latihan kakitangan.

Latihan kebakaran berkala akan terus dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan paras kesiap sediaan para kakitangan jika berlaku kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA