TAIB kutip lebih $4 juta hasil zakat

TAIB kutip lebih $4 juta hasil zakat

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Perbadanan TAIB telah berjaya mengumpulkan lebih $4.2 juta hasil daripada kutipan zakat pendeposit-pendepositnya pada tahun lalu yang akan diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Brunei pada suku pertama tahun ini.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Perbadanan TAIB menyatakan perkara ini semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Tahunan, Perbadanan TAIB yang berlangsung di Dewan Tarindak 2 @ Kesenian di ibu negara, malam kelmarin.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin berkata sentimen pasaran yang menurun pada tahun 2015 telah menyebabkan perbadanan menunjukkan prestasi yang menurun dengan mencatatkan perolehan daripada operasi sebelum odit sebanyak $50.4 juta bagi tahun kewangan tahun lalu.

Penurunan pendapatan ini, jelas beliau, adalah disebabkan oleh penurunan pendapatan pelaburan berikutan kelembapan pasaran dunia terutama kejatuhan mata-mata wang utama akibat penurunan harga minyak dunia yang telah menjejaskan pelaburan-pelaburan Perbadanan TAIB di dalam mata-mata wang berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyerahkan tanda penghargaan kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyerahkan tanda penghargaan kepada salah seorang penerima.

Walau bagaimanapun perolehan daripada aktiviti-aktiviti pembiayaan korporat naik 87 peratus, Pengutipan Hutang Lapuk naik 400 peratus dan ‘Treasury Placement’ telah mencatatkan kenaikan sebanyak 6 peratus pada tahun 2015, ujar Yang Berhormat Pehin.

Untuk mengekalkan prestasi yang telah dicapai, Yang Berhormat Pehin menyeru semua warga kerja TAIB untuk bersama-sama menggunakan kekuatan yang ada pada setiap individu dengan bekerja bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab bagi memastikan strategi serta aktiviti-aktiviti yang dirancang pada tahun ini akan dapat menghasilkan kejayaan yang lebih membanggakan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut meluahkan kekesalannya dan ahli-ahli lembaga pengarah mengenai beberapa kejadian yang tidak diingini tahun lalu yang berpunca daripada kelalaian dan kegagalan mematuhi SOP dan juga peraturan-peraturan yang ada.

Beliau menekankan, kejadian ini bukan saja merugikan dari segi pendapatan, ia juga telah menjejaskan imej dan kredibiliti Perbadanan keseluruhannya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata bahawa TAIB akan menyambut ulang tahun ke-25 atau Jubli Perak penubuhannya pada tahun ini oleh itu, beliau menaruh harapan agar warga dan pengurusan perbadanan akan terus melipatgandakan usaha untuk melaksanakan pelbagai perancangan strategik dengan strategi perniagaannya yang lebih dinamik, profesional, beretika dan komited bagi mencapai sasaran pulangan tinggi pelaburan dan perniagaan.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB yakin Perbadanan TAIB mempunyai ruang dan peluang yang baik untuk terus maju setanding dengan institusi kewangan lain di dalam negara, tambah beliau lagi.

Majlis makan malam berkenaan bertujuan untuk memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua lapisan pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya di atas usaha gigih, kerjasama dan sokongan berterusan mereka dalam memajukan dan memperkembangkan perbadanan.

Pada majlis itu, seramai 45 orang pegawai dan kakitangan turut menerima sijil lima, 10, 15 dan 20 tahun perkhidmatan di Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB dan Darussalam Holdings Sendirian Berhad.

ARTIKEL YANG SAMA