TAIB lancar ibu pejabat baru

TAIB lancar ibu pejabat baru

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Insurans Islam, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) Family Takaful Sdn Bhd mencatatkan satu lagi sejarah tersendirinya apabila melancarkan ibu pejabat barunya yang lebih selesa dan kondusif bagi para pelanggan berurusan, yang terletak di Bangunan Setia Kenangan II, Kiulap, di sini, hari ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan selaku Pengerusi Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, ahli-ahli lembaga pengarah, para jemputan khas dan Pegawai Kanan Perbadanan TAIB dan Darussalam Holdings Sdn Bhd. Pengarah Urusan, Insurans Islam TAIB Sdn Bhd, Haji Osman bin Haji Mohd Jair semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata Insurans Islam TAIB Family Takaful telah ditubuhkan pada 30 Disember 2010 di bawah akta syarikat dan ‘Takaful Order 2008’, iaitu mana-mana syarikat takaful yang mempunyai dua jenis perniagaan hendaklah melaksanakan perniagaan secara berasingan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa merasmikan majlis pembukaan, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa merasmikan majlis pembukaan, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa meninjau kemudahan di ibu pejabat baru itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa meninjau kemudahan di ibu pejabat baru itu.

“Setakat ini, Insurans Islam TAIB Family Takaful telah mempunyai dua buah cawangan iaitu Kiulap dan Kuala Belait serta menyediakan empat meja takaful di mana tiga daripadanya beroperasi di cawangan-cawangan Perbadanan TAIB iaitu Tanjung Bunut, Lambak dan Tutong, manakala sebuah meja takaful juga beroperasi di Ibu Pejabat Buruh, Jalan Menteri Besar,” ujar beliau. Menurut beliau lagi, Insurans Islam TAIB Family Takaful juga telah memperkembangkan perniagaannya melalui agensi-agensi insurans yang berdaftar dan berkolaborasi dengan beberapa buah institusi kewangan bagi memberikan perlindungan takaful yang berkaitan dengan fasiliti kredit yang ditawarkan.

Di samping pembukaan rasmi ibu pejabat itu, majlis turut menyaksikan pelancaran promosi Produk Family Takaful yang bertujuan untuk menjadi satu tarikan bagi pelanggan mengunjungi ibu pejabat berkenaan di samping memperbanyakkan lagi penyertaan dan perniagaan di bawah produk-produk takaful keluarga. Promosi ini adakan akan diadakan sehingga 30 Jun 2016.

Selepas perasmian berkenaan, tetamu kehormat majlis turut dibawa meninjau kemudahan yang terdapat di ibu pejabat baru itu dan menyaksikan pameran yang diadakan iaitu Pusat Derma Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang mengadakan kempen derma darah, pameran Darussalam Holdings Sdn Bhd dan produk promosi oleh Perbadanan TAIB. Ibu pejabat Insurans Islam TAIB Family Takaful itu dibuka dari Isnin hingga Khamis bermula jam 8:30 pagi hingga 12 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4 petang. Bagi hari Jumaat, ia akan dibuka jam 8:30 pagi sehingga 11:15 pagi dan 2:30 petang sehingga 4 petang, manakala itu, pada hari Sabtu, ia akan dibuka dari 8:30 pagi sehingga 11:15 pagi.

ARTIKEL YANG SAMA