TAIB raikan Syawal

TAIB raikan Syawal

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Majlis-majlis terbuka sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus rancak diadakan di penghujung Syawal ini oleh pelbagai pihak di negara ini dan turut mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) yang berlangsung di ruang legar Airport Mall, Berakas.

Antara yang dijemput bagi memeriahkan majlis sambutan itu adalah anak-anak istimewa dari Pusat Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) dan asnaf fakir dari Kampung Anggerek Desa dan Kampung Pancha Delima yang merangkumi seramai 130 orang.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TAIB, para pegawai kanan kerajaan, pelanggan korporat dan rakan-rakan kongsi.

Pada majlis sambutan tahun ini, Perbadanan TAIB juga telah menjemput 13 perusahaan kecil dan sederhana dalam menjayakan perayaan dengan menggunakan majlis tersebut bagi memperkenalkan produk-produk mereka.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan duit raya kepada warga Pusat Persatuan Ka-nak-kanak Cacat (KACA) dan asnaf fakir dari Kampung Anggerek Desa dan Kampung Pancha Delima.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan duit raya kepada warga Pusat Persatuan Ka-nak-kanak Cacat (KACA) dan asnaf fakir dari Kampung Anggerek Desa dan Kampung Pancha Delima.
Dayangku Nurul Aqilah ketika di temu bual.
Dayangku Nurul Aqilah ketika di temu bual.

Antara syarikat yang dijemput adalah Brunei Mobile Coffee Bar (Brewnei), Restoran Selera Babu, Nasi Ayam Tanda Kasih, Ahmad Ismail Satay dan BBQ Gril Kambing.

Salah seorang pemilik restoran Selera Babu, Dayangku Nurul Aqilah binti Pengiran Haji Alli ketika ditemui melahirkan perasaan sangat bersyukur atas jemputan daripada Perbadanan TAIB itu untuk menyediakan jamuan soto dan ambuyat mereka yang sudah popular sejak 1997 bagi para jemputan di sana. “Sehingga kini perusahaan kami semakin meningkat dan telah berjalan sejak enam tahun dan sekarang mempunyai dua cawangan,” ujarnya mengenai perniagaan mereka.

Manakala itu, Awang Zaeri Zolkefli yang merupakan pemilik Brunei Mobile Coffee Bar (Brewnei) turut memberi ulasan yang sama, sambil berkongsi mengenai produk mereka yang berkonsepkan jualan kopi secara mudah alih (mobile).

Sejak ditubuhkan tiga minggu lalu, beliau berkata, tindak balas orang ramai sangat baik.

“Alhamdulillah, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Perbadanan TAIB selaku pelanggan terbesar kami di atas peluang yang diberikan untuk memberi layanan kepada jemputan dengan produk kami ini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA