Taikun HK yang diculik diselamatkan di Taiwan

Taikun HK yang diculik diselamatkan di Taiwan

TAIPEI, 28 Okt (AFP) – Seorang taikun Hong Kong yang diculik telah dibebaskan dalam satu penyelamatan dramatik selepas dia ditahan lebih sebulan oleh penjenayah yang menuntut wang tebusan sebanyak AS$9 juta, menurut pihak berkuasa Taiwan hari ini.

Wong Yuk-kwan yang juga dikenali sebagai Wong Kwan, pengerusi syarikat minyak Pearl Oriental Oil yang disenaraikan di Hong Kong, telah ditemui kelmarin dalam keadaan diikat dan dipukul di sebuah kampung di barat Taiwan selepas diculik di luar bandar Taipei pada 20 September, menurut pihak berkuasa.

Rakaman televisyen bagi operasi menyelamat menunjukkan lelaki berusia 67 tahun itu kelihatan kurus kering dan nampak takut ketika dia duduk di lantai sebuah bilik kosong dengan kakinya diikat.

Wajahnya nampak lebam dan menekan kakinya yang dibaluti darah.

Seramai 15 orang telah ditangkap berhubung penculikan itu, termasuk seorang lelaki yang disyaki dalang penculikan, menurut pihak berkuasa.

Para penculik telah meminta wang tebusan sebanyak HK$70 juta (AS$9 juta) menerusi e-mel yang dihantar ke pejabat Wong di Hong Kong dan menuntutnya agar ia dibayar dalam mata wang bitcoin maya, kata pihak berkuasa.

“Kami sedang membantu polis Hong Kong dengan siasatan sehingga ke akar umbinya” katanya, menambah bahawa tiada wang tebusan telah dibayar.

Syarikatnya tidak dapat dihubungi oleh AFP untuk memberi komen.

Ahli perniagaan itu, yang menurut laporan media Taiwan berada di Taipei bagi rawatan perubatan, telah didakwa di Hong Kong bersama tiga eksekutif Pearl Oriental Oil yang lain pada 2013 atas kesalahan penipuan dan pelaburan wang haram berkaitan pengambilalihan padang minyak di Amerika Syarikat.

ARTIKEL YANG SAMA