Taikun Kemboja lari selepas serang selebriti

Taikun Kemboja lari selepas serang selebriti

PHNOM PENH, 14 Julai (dpa) – Seorang jutawan Kemboja yang dilaporkan sedang melarikan diri di Singapura setelah memukul seorang wanita telah menawarkan untuk membayar wang pampasan bagi mengelak daripada dipenjarakan, lapor media tempatan hari ini.

Gambar daripada kamera keselamatan yang tersebar pada 8 Julai menunjukkan pemaju harta Sok Bun menyerang selebriti tempatan Ek Socheata di sebuah restoran Phnom Penh.

Peguam Sok Bun memberitahu Phnom Penh Post bahawa anak guamannya ‘benar-benar mahu berkompromi’ dan ‘membuat kenyataan maaf’ dengan menawarkan Ek Socheata 100,000 dolar dalam wang pampasan.

Di Kemboja, menawarkan bayaran pampasan kewangan kepada mangsa atau keluarga mereka boleh membawa kepada hukuman yang dikurangkan atau digantung.

Ek Socheata didakwa menolak tawaran sebelumnya berjumlah 40,000 dolar, menurut akhbar Phnom Penh Post.

Sok Bun juga menawarkan untuk melucutkan gelaran kehormat yang diberikan kepada sesetengah ahli perniagaan, menurut akhbar.

Gambar serangan yang dirakam oleh CCTV menunjukkan Sok Bun menolak perempuan itu, (Ek Socheata), kemudian memukul dan mengheretnya sekitar sebuah restoran tatkala kawannya, seorang pengawal peribadi, dan seorang pekerja restoran melihat.

Menurut Ek Socheata, punca serangan itu adalah kerana dia telah campur tangan apabila lelaki itu, Sok Bun, cuba membawa pulang kawan wanitanya yang mabuk.

Sok Bun dilaporkan meninggalkan Kemboja pada hari selepas video dikeluarkan, dan mengumumkan pada 10 Julai pengundurannya daripada usaha sama harta tanah berjumlah berjuta dolar dengan firma Singapura TEHO International.

Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan bahawa Sok Bun telah meletak jawatan ‘atas sebab-sebab peribadi’ sebagai rakan tempatan firma dalam pembangunan hotel dan pangsapuri mewah berjumlah 500 juta dolar.

Sok Bun juga mengumumkan peletakan jawatannya hari ini sebagai ketua Persatuan Jurunilai dan Ejen Hartanah Kemboja.