Taikun Li gesa Britain kekal dalam EU

Taikun Li gesa Britain kekal dalam EU

HONG KONG, 21 Jun (AFP) – Taikun Hong Kong, Li Ka-shing, salah seorang lelaki terkaya di Asia, menyeru Britain untuk kekal dalam Kesatuan Eropah (EU), dengan memberi amaran, undian keluar akan memberi kesan ‘mudarat’ kepada keseluruhan benua.

Dengan hanya beberapa hari lagi sebelum pengundian bersejarah, Li, yang memiliki pelaburan besar di Britain, memberitahu Bloomberg TV bahawa tidak akan ada pemenang, namun berkata dia akan tetap mengekalkan kepentingan perniagaannya walau apa saja hasil keputusannya.

Selaan Li – yang digelar Superman kerana kepintarannya dalam pelaburan telah menjadikannya memiliki kekayaan AS$28 bilion – muncul ketika siri undian pendapat yang meletakkan pengundian ‘Keluar’ dan ‘Kekal’ seri menjelang undian 23 Jun.

“Sudah tentu saya berharap yang UK tidak akan meninggalkan EU,” ujarnya dalam temu bual yang disiarkan hari ini dan merupakan kemunculan media antarabangsanya yang pertama sejak 2012.

“Jika Brexit berlaku, ia akan menggugat UK dan ia akan mempunyai impak negatif kepada keseluruhan Eropah.”

Li berusia 87 tahun merupakan pelabur terbesar di Britain, memiliki perkhidmatan telefon Three, rangkaian farmasi Superdrug, dan syarikat-syarikat pengedaran gas dan elektrik.

ARTIKEL YANG SAMA