Taikun Packer bimbang kakitangan ditahan di China

Taikun Packer bimbang kakitangan ditahan di China

SYDNEY, 18 Okt – Jutawan permainan Australia James Packer, hari ini berkata beliau ‘amat bimbang’ mengenai 18 kakitangan Crown Resorts yang ditahan di China tatkala lembaganya mengadakan mesyuarat tergempar untuk memutuskan apa yang akan dilakukan.

Kakitangan pemasaran diculik dalam serbuan lewat minggu lalu termasuk seorang eksekutif yang bertanggungjawab menarik pelaburan ke Australia, dengan Beijing berkata mereka telah ‘ditahan secara haram kerana kesalahan perjudian’.

Saham Crown merosot lebih 13 peratus semalam tetapi stabil hari ini selepas pulih 1.70 peratus untuk ditutup pada Aus$11.34.

“Sebagai pemegang saham Crown Resorts, saya amat bimbang dengan kesejahteraan pekerja Crown yang ditahan di China,” kata jutawan Packer, yang bertunang dengan diva pop Mariah Carey dan merupakan pemegang saham terbesar syarikat.

“Crown akan melakukan sedaya upaya untuk menyokong pekerja kami dan keluarga mereka pada masa sukar ini. Perkara paling penting bagi kami adalah berkomunikasi dan memastikan kesemua mereka adalah selamat.”

Lembaga Crown mengadakan mesyuarat tergempar menerusi telefon lewat semalam di tengah laporan polis China sedang bersedia untuk mendakwa pekerja kerana menganjurkan aktiviti perjudian untuk warga China di luar negara. Syarikat perjudian tidak dibenarkan mengiklankan perjudian di China.

Akhbar Sydney Morning Herald berkata spekulasi dalam kalangan orang dalam industri mengkaitkan krisis dengan satu percubaan Crown untuk mengutip Aus$15 juta hutang perjudian daripada pelabur China di kasino Melbourne.

“Saya telah berusaha mendapatkan pengemaskinian tetap mengenai isu ini dan telah meminta Crown untuk melakukan seberapa daya untuk menghubungi pekerja kami dan menyokong keluarga mereka, tatkala kami menunggu butir-butir lanjut daripada pihak berkuasa China,” tambah Packer.

“Saya menghormati bahawa penahanan ini telah berlaku di negara lain dan dengan itu tertakluk kepada peraturan kedaulatan mereka dan proses penyiasatan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA