Taipei sasar tambah 20% ketibaan pelancong M’sia

Taipei sasar tambah 20% ketibaan pelancong M’sia

TAIPEI, 12 Sept – Kerajaan Bandar raya Taipei menyasarkan tambahan 20 peratus ketibaan pelancong Malaysia menjelang akhir tahun berbanding 370,000 pada 2015.

Pesuruhjaya Pelancongan dan Maklumat Bandar Raya Taipei, Yu-Yen Chien, berkata daripada 430,000 rakyat Malaysia yang melawat Taiwan tahun lepas, 370,000 mengunjungi Taipei, ibu negara Taiwan.

“Kami nampak potensi besar dalam pasaran pelancongan Malaysia, terutama dalam kalangan penduduk Islam,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Oleh itu, Chien berkata kerajaan tempatan menyasarkan peningkatan jumlah restoran dan hotel halal kepada 36 menjelang akhir 2016 berbanding 29 pada separuh pertama tahun ini.

“Tahun lepas, sebuah kilang roti terkemuka, yang sudah wujud selama 150 tahun, membelanjakan lebih 1 juta NTY (Yuan baharu Taiwan) untuk mewujudkan operasi pengeluaran halal sepenuhnya,” katanya.

Pada masa ini kilang berkenaan menghasilkan kek nanas halal, makanan terkemuka di Taiwan, selain kek kacang hijau.

Produk halal di Taiwan disahkan oleh Persatuan China Islam dan Masjid Besar Taipeh.

Sementara itu, Chien tidak menolak kemungkinan Kerajaan Bandar Raya Taipei akan bekerjasama dengan peserta pasaran untuk menambah bahagian jualan produk halal di kedai serbaneka masing-masing dalam tempoh terdekat.

“Pada masa ini ketibaan pelancong Malaysia agak kecil berbanding kira-kira 10 juta pelancong antarabangsa yang direkodkan setiap tahun.

“Jika bilangannya bertambah, kami akan meningkakan lagi pembabitan dengan peserta pasaran bagi menampung keperluan pengguna Islam,” katanya.

“Selain itu kami juga akan menambah lebih banyak kemudahan untuk pelancong Islam,” katanya dan menambah pada masa ini sudah ada bilik solat di Bandar Raya Taipeh serta Taipei Main Station (stesen utama kereta api). – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA