Taiwan akan dilanda taufan kuat

Taiwan akan dilanda taufan kuat

TAIPEI, 7 Julai – Taiwan membatalkan lebih daripada 100 penerbangan dan menutup sekolah dan pejabat pada hari ini tatkala pulau itu bersedia menghadapi kesan langsung daripada Taufan Kuat Nepartak, ribut tropika pertama pada musim ini.

Taufan itu membawa angin dengan kelajuan 245 kilometer sejam tatkala ia bergerak ke arah daerah timur Hualien dan Taitung, di mana ia dijangka mendarat pada awal esok, menurut Biro Cuaca Utama Taiwan.

Ribut itu dijangka membawa hujan lebat di seluruh pulau dengan kawasan pergunungan diramalkan dibanjiri oleh hujan 600 milimeter, berpotensi mencetuskan runtuhan tanah yang telah meragut beratus nyawa sebelum ini.

Semua bot nelayan telah dipanggil pulang ke pelabuhan apabila ombak, setinggi 14 meter, menurut laporan TV, melanda pantai timur. Lebih daripada 35,000 tentera bersiap sedia untuk membantu dengan pemindahan dan bantuan bencana, sementara tempat perlindungan telah didirikan di seluruh pulau.

Kira-kira 200 orang telah dipindahkan dari rumah mereka di Hualien dan selatan bandar Tainan dan Kaohsiung, menurut Pusat Utama Operasi Kecemasan. Taitung juga djangka memulakan pemindahan penduduk di kampung dan penempatan yang paling mudah terdedah kepada runtuhan tanah.

Kebanyakan penerbang-an domestik tidak dibenarkan terbang sementara 106 penerbangan antarabangsa akan terjejas, kata dua lapangan terbang utama Taipei. Berpuluh feri juga telah dibatalkan manakala orang ramai bersesak menaiki kereta api di pantai timur, sebelum perkhidmatan kereta api ditutup pada lewat petang ini.

Tempat pelancongan popular di Green Island dan Orchid Island, yang telahpun memindah beribu-ribu pelawat sejak Selasa, menutup sekolah dan pejabat pada hari ini. Tiga daerah lain juga mengumumkan penutupan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA