Taiwan berkas 3 warga asing godam ATM

Taiwan berkas 3 warga asing godam ATM

TAIPEI, 18 Julai – Taiwan menahan tiga tersangka asing berhubung rompakan siber berjumlah $2.5 juta yang menggunakan perisian untuk menggodam rangkaian ATM bank tempatan utama dan mencuri beberapa beg wang tunai, kata polis hari ini.

Serangan itu, yang pertama di Taiwan, menyasarkan rangkaian ATM Bank Komersial Pertama pada minggu lalu, menggunakan perisian untuk mengeluarkan lebih daripada Tw$81 juta daripada berpuluh mesin di tiga buah bandar.

Seorang tersangka Latvia, dikenal pasti sebagai Andrejs Peregudovs, diberkas oleh polis di daerah timur laut Yilan selepas ditemui oleh pegawai polis yang tidak bertugas dari Taipei yang sedang bercuti di kawasan itu.

Dua orang tersangka lain dari Romania dan Moldova ditahan semalam di sebuah hotel di Taipei, kata polis, menambah mereka percaya rompakan dijalankan oleh 16 anggota sindiket jenayah antarabangsa.

“Ini adalah kecurian ATM pertama oleh sindiket jenayah asing di negara kami,” kata polis dalam satu kenyataan.

Polis telah menemui lebih separuh daripada wang yang dicuri, tetapi mengingatkan 13 daripada tersangka – termasuk lima warga Rusia – telahpun melarikan diri dari Taiwan selepas rompakan.

“Kami akan terus mencari baki wang yang dicuri untuk memaklumkan kepada penggodam antarabangsa bahawa Taiwan bukan tempat perlindungan jenayah,” kata kenyataan.

Polis telah berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Interpol dan kedutaan de facto Rusia di Taiwan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA