Taiwan gesa tiada ‘hantu’ di lebuh raya

Taiwan gesa tiada ‘hantu’ di lebuh raya

TAIPEI, 10 Ogos – Taiwan telah menuntut pencipta Pokemon Go supaya menjadikan lebuh raya-lebuh raya sebagai kawasan larangan untuk permainan realiti setelah lebih daripada 1,200 orang ditangkap bermain ketika memandu.

Pihak berkuasa sedang bergelut dengan ledakan kepopularan aplikasi permainan itu, yang telah menyebabkan kemalangan tatkala pengguna memburu watak kartun alam maya di lokasi dunia sebenar.

Biro Lebuh Raya Nasional berkata hari ini ia telah meminta pencipta permainan Niantic supaya jangan menggunakan lebuh raya dan tempat persinggahan di pulau berkenaan.

“Kami telah meminta mereka supaya tidak meletak mana-mana harta Pokemon di kawasan sekitar lebuh raya,” beritahu Chen Ting-tsai, jurucakap biro kepada AFP.

Sementara tidak ada Pokemon yang ditemui di lebuh raya, satu tugu peringatan yang didedikasikan kepada pejuang kebebasan Taiwan Chiang Wei-shui yang terletak di pintu keluar terowong telah menjadi satu risiko keselamatan.

“Kami telah meminta polis lebuh raya supaya menambah rondaan di sini dan tidak menggalakkan pemandu daripada berhenti secara tiba-tiba,” kata Chen.

Kira-kira 1,210 pemandu telah ditangkap mencabul peraturan lalu lintas dengan bermain permainan tersebut ketika memandu sejak Pokemon Go dilancarkan di Taiwan pada Sabtu, menurut Agensi Polis Negara.

Pemandu menghadapi denda seba-nyak Tw$3,000 jika ditangkap menggunakan telefon mereka, sementara penunggang motosikal perlu menyerah Tw$1,000.

Pentadbiran Perkhidmatan Lebuh Raya Taiwan juga mengharamkan Pokemon Go dan berkata ia akan menghubungi Niantic untuk mengeluarkan stesen dan kereta api daripada permainannya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA