Taiwan mohon Google kaburkan peta pulau Laut China Selatan

Taiwan mohon Google kaburkan peta pulau Laut China Selatan

TAIPEI, 22, Sept – Kementerian pertahanan Taiwan telah meminta Google supaya mengabur gambar pembangunan baru yang dipercayai untuk kegunaan tentera di pulau Laut China Selatan.

Ketegangan masih tinggi di rantau itu berhubung konflik tuntutan wilayah, terutamanya ke atas rangkaian Spratlys.

Taiwan mentadbir pulau Taiping, yang merupakan yang terbesar di gugusan kepulauan Spratlys. Rangkaian pulau itu juga dituntut sebahagian atau keseluruhan oleh Filipina, Vietnam dan China.

Imej satelit Google menunjukkan satu struktur bundar dengan empat penyambung berbentuk Y, melimpasi keluar ke laut di pantai barat laut Taiping.

Pembangunan tersebut berlaku selepas Taiwan pada tahun lalu merasmikan rumah api yang menggunakan tenaga solar, lapangan terbang dan jeti sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh keupayaan pertahanan di Taiping.

Kementerian pertahanan berkata ia sedang dalam proses untuk menghubungi Google hari ini untuk meminta mereka supaya mengabur imej satelit, tetapi enggan memberi komen selanjutnya mengenai apa struktur berkenaan.

“Ia adalah maklumat sulit,” kata jurucakap kementerian Chen Chung-chi apabila ditanya sebab-sebab permintaannya kepada Google, yang dibuat selepas gambar struktur muncul dalam media tempatan.

Kebimbangan mengenai kemungkinan konfrontasi tentera di kawasan itu telah meningkat sejak satu keputusan tribunal antarabangsa pada Julai yang menolak tuntutan Beijing ke atas hampir kesemua Laut China Selatan – malah perairan yang menghampiri pantai Filipina dan negara Asia Tenggara lain. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA