Taiwan perkenal peraturan ketat bot komersial

Taiwan perkenal peraturan ketat bot komersial

NEW TAIPEI CITY, Taiwan, 4 Okt – Pemilik bot-bot nelayan komersial di Taiwan, salah satu pengeksport makanan laut terbesar di dunia, berdepan peraturan ketat dan denda di bawah undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah penangkapan ikan secara berlebihan dan melindungi anak kapal asing yang bekerja jauh di laut dengan kurang pengawasan.

Akta Perikanan Laut Lepas, yang berkuat kuasa 15 Januari 2017, muncul di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat ke atas industri makanan laut Taiwan bagi bertindak ke atas perhambaan zaman moden dan penyalahgunaan lain bagi 20,000 pendatang yang bekerja pada armada penangkapan ikan.

Frances Lee, seorang jurucakap Kementerian Luar Negeri Taiwan, berkata keperluan baru bagi nelayan asing, termasuk insurans, penjagaan kesihatan, gaji, masa bekerja dan hak asasi manusia.

Tahun lalu, Kesatuan Eropah memberikan Taiwan amaran ‘kad kuning’ kerana gagal mengawal penangkapan ikan secara haram di atas kapal komersial, yang belayar di seluruh dunia untuk menangkap beberapa AS$2 bilion bagi pengeksportan tuna dan makanan laut yang lain setiap tahun. Tanpa penambahbaikan, eksport makanan laut Taiwan ke EU yang bernilai AS$14 juta boleh menghadapi sekatan.

Gambar fail 22 Julai 2014 menunjukkan nelayan mengikat bot mereka di Keelung, timur laut Taiwan. – AP
Gambar fail 22 Julai 2014 menunjukkan nelayan mengikat bot mereka di Keelung, timur laut Taiwan. – AP

Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negeri AS 2016 mengatakan bahawa sementara Taiwan telah bertindak tegas terhadap pemaksaan buruh dan perdagangan seks, kapal-kapal nelayan memerlukan perhatian yang lebih.

Menurut laporan itu, kebanyakannya nelayan adalah dari Indonesia, Kemboja dan Vietnam yang telah ditipu dan direkrut untuk bekerja di kapal Taiwan di mana mereka boleh menghadapi penyalahgunaan termasuk keganasan, bekalan makanan yang terhad dan gaji yang ditahan. Beberapa kumpulan penyokong termasuk Greenpeace dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa telah berkali-kali menimbulkan kebimbangan tentang keadaan kerja anak-anak kapal asing dalam kapal nelayan Taiwan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA