Taiwan perkenal Program Pengecualian Visa

Taiwan perkenal Program Pengecualian Visa

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Hubungan dua hala terutamanya antara rakyat Negara Brunei Darussalam dan Taiwan kini diperkukuhkan lagi apabila Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan ke Brunei Darussalam, hari ini, memperkenalkan fasa kedua Program Pengecualian Visa hingga 30 hari yang akan bermula 1 Disember depan.

Perkembangan baharu ini merupakan susulan daripada Program Pengecualian Visa bagi warganegara Brunei ke Taiwan yang telah bermula pada 1 Ogos yang lalu.

Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan, Jason C.H menjelaskan, bermula 1 Disember 2016, warga Brunei boleh membuat lawatan, melancong, menjalankan urusan perniagaan, melawat keluarga atau menghadiri pelbagai acara di Taiwan seperti persidangan antarabangsa, acara sukan dan pameran perdagangan di bawah Program Pengecualian Visa itu bagi tempoh tidak lebih daripada 30 hari.

Jika melebihi 30 hari, warganegara Brunei dimestikan untuk memohon visa melalui wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan, Gadong, tambah beliau semasa mengumumkan mengenai fasa kedua program berkenaan, hari ini.

Beliau menasihatkan warga Brunei yang ingin melawat Taiwan untuk mempunyai pasport biasa, rasmi atau diplomatik yang mempunyai tempoh sah lebih dari enam bulan, manakala mereka yang mempunyai pasport atau dokumen perjalanan kecemasan, sementara dan tidak formal terkecuali daripada kategori berkenaan.

Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan ketika menerangkan mengenai fasa kedua program berkenaan.
Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan ketika menerangkan mengenai fasa kedua program berkenaan.

Sementara itu, warga Brunei yang ingin berkunjung ke Taiwan bagi tujuan seperti pekerjaan, belajar, menetap dengan keluarga atau menghadiri kursus atau yang ingin untuk tinggal di Taiwan lebih dari 30 hari, mereka dinasihatkan untuk membuat permohonan visa yang sesuai di Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Brunei Darussalam.

Menurut beliau lagi, program terbaru itu merupakan salah satu inisiatif di bawah dasar ‘Going South Taiwan’ di mana mereka memperkenalkan program berkenaan bagi warga Brunei dan juga warga Taiwan supaya mereka mampu melawat Taiwan tanpa memerlukan visa untuk meningkatkan lagi perdagangan di antara Taiwan dan negara-negara ASEAN serta pelancong dari negara-negara ASEAN ke Taiwan.

Bagi fasa kedua program berkenaan, penduduk tetap juga tidak terkecuali, yang mana mereka juga diberikan pengecualian visa 30 hari.

Dalam pada itu, Jason juga mengongsikan bahawa sejak Taiwan menawarkan Program Pengecualian Visa bagi warganegara Brunei, kemasukan pelancong Brunei ke Taiwan semakin meningkat sejak tiga bulan kebelakangan, iaitu 76 orang pada Ogos, September 117 orang, dan Oktober 152 orang, serta semakin meningkat.

Katanya lagi, adanya fasa kedua program itu, beliau percaya lebih ramai warga Brunei akan membuat lawatan ke Taiwan bukan sahaja untuk melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di Taiwan tetapi juga dapat meneroka peluang-peluang pelaburan yang ada di sana.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan harapan supaya program sama boleh diberikan kepada warga Taiwan kerana beliau yakin usaha itu bukan sahaja akan menggalakkan lebih ramai pelancong Taiwan untuk melancong ke Brunei malahan juga menggalakkan pelabur-pelabur untuk berkunjung ke negara ini bagi meneroka peluang pelaburan di sini.

Jason berkata, pada masa ini terdapat beberapa orang usahawan Taiwan yang melabur di Brunei dan yakin jumlah itu akan meningkat jika terdapat Program Pengecualian Visa berkenaan, di mana pelabur-pelabur Taiwan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian, akuakultur dan tanaman perhiasan akan berminat untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa jumlah pelancong dari Taiwan yang akan melawat Brunei juga akan meningkat serta akan mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Malaysia, katanya, merupakan satu contoh yang baik di mana dengan Program Pengecualian Visa yang diperkenalkan bagi warga Taiwan, jumlah pelancong Taiwan ke Malaysia meningkat dan dengan adanya penerbangan terus dari Taiwan ke Kota Kinabalu, setentunya akan menggalakkan pelancong Taiwan di Sabah atau Sarawak untuk memasuki Brunei sebagai destinasi lawatan mereka seterusnya di Borneo.

Mengulas mengenai jumlah pelawat dari Brunei ke Taiwan, beliau mendedahkan bahawa pada 2015, seramai 1,563 orang penduduk Brunei telah pergi ke Taiwan dan sehingga akhir Oktober 2016, seramai 1,064 orang penduduk Brunei telah melawat Taiwan.

ARTIKEL YANG SAMA