Taiwan tarik minat pelancong Brunei

Taiwan tarik minat pelancong Brunei

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Pada tahun 2014 kira-kira 2,000 orang pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke Taiwan dan ini menampakkan peningkatan yang menggalakkan bagi sebuah negara yang kecil di rantau ini.

Statistik ini dikongsikan oleh perwakilan dari Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Brunei Darussalam, Albert Huang ketika menghadiri majlis resepsi perwakilan Biro Pelancongan Taiwan yang berpusat di Kuala Lumpur, yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara, hari ini.

Menurut beliau lagi, tahun lalu, seramai 9.9 juta orang pelancong masuk ke Taiwan berbanding 8 juta pada tahun sebelumnya, yang menurutnya, menunjukkan peningkatan sangat baik bagi sektor pelancongan dan hubungan diplomatik bersama negara lain, ujarnya kepada media.

“Kami kini masih berusaha mendapatkan peluang untuk memudahkan pelancong terutama dari negara ini terutama dalam hal permohonan visa kerana sehingga kini pelancong negara ini perlu mendapatkan visa kemasukan ke negara itu yang berharga AS$50 pada ketibaan di Taiwan,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai kemasukan mudah ke Taiwan, beliau memberitahu dengan melalui Hong Kong menggunakan Penerbangan Diraja Brunei atau beberapa penerbangan lain di rantau ini seperti di Malaysia dan Singapura termasuk penerbangan kos rendah.

Perwakilan dari Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Brunei Darussalam, Albert Huang berucap di majlis itu.
Perwakilan dari Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Brunei Darussalam, Albert Huang berucap di majlis itu.

Majlis itu turut menyaksikan taklimat mengenai tarikan dan peluang pelancongan di Taiwan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Biro Pelancongan Taiwan (Kuala Lumpur), Cindy Chen yang berada di negara ini sempena Pesta Pelancongan Percutian ABACUS 2015 yang bakal berlangsung esok dan Ahad ini.

Menurutnya, banyak aspek yang dipandang serius terutamanya bab makanan halal, tempat solat, pengangkutan dan tarikan di Taiwan yang masih baru kepada pelancong tempatan di sini.

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan biro berkenaan semasa pesta dua hari itu, katanya mereka akan berada di petak 22 dan 23, serta mempelawa orang ramai untuk datang ke sana bagi melihat sendiri apa yang ditawarkan oleh Taiwan kepada pelancong di negara ini.

Beliau seterusnya berkata, bagi tahun 2015, biro berkenaan telah memilih slogan ‘Time for Taiwan’ atau dalam bahasa Melayu ‘Masa untuk Taiwan’ dengan menampilkan makanan halal, gaya hidup sihat, beli-belah dan pengembaraan romantis dengan 42 acara besar yang bakal berlangsung di Taiwan.

Cindy Chen menyatakan lagi bahawa waktu terbaik untuk ke sana adalah pada akhir tahun (bermula Jun hingga Disember) kerana ketika itu merupakan musim luruh dan musim sejuk yang pastinya akan memberikan pengalaman baru kepada pelancong yang baru mengalami pengembaraan ke Taiwan.

Kini, Taiwan mempunyai 77 buah restoran dan hotel serta 13 tempat pelancongan yang kini disediakan dengan bilik sembahyang dan tandas bagi orang-orang Islam yang berkunjung ke negara itu yang suatu ketika dahulu dikenali dengan nama Pulau Formosa.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh perwakilan-perwakilan media, agensi pelancongan dan jemputan dari Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA