Taiwan tidak gentar

Taiwan tidak gentar

HSINCHU, Taiwan, 10 Sept – Taiwan hari ini mengadakan latihan yang mensimulasi satu serangan China tatkala Presiden Ma Ying-jeou berikrar akan mengekalkan tentera yang bersedia untuk bertempur ketika berusaha berdamai dengan negara jiran.

Latihan yang dipengerusikan oleh Ma itu membentuk sebahagian daripada latihan perang tahunan pada tahun ini dan diberi nama “Han Kuang 31” bertujuan menguji bagaimana angkatan bersenjata Taiwan menangkis serangan China.

“Walaupun hubungan antara Selat adalah paling stabil sejak 66 tahun lalu, Republik China (Taiwan) belum mengurangkan persediaan tenteranya,” beritahu Ma kepada 800 askar yang terbabit dalam latihan pada satu perhimpunan di pangkalan tentera di utara daerah Hsinchu.

“Kami mahu mengelak peperangan tetapi kami tidak takut untuk bertempur. Sementara berfungsi sebagai pendamai, kami juga mahu mengendalikan tentera yang kukuh dan mampu berdiri sendiri,” tambah beliau. Latihan perang lima hari, yang bermula Isnin lalu, diadakan selepas China menunjukkan kekuatannya semasa perarakan untuk meraikan ulang tahun ke-70 Perang Dunia Kedua.

China dan Taiwan berpisah pada 1949 pada akhir perang saudara dan Beijing enggan melepaskan cita-citanya untuk menyatukan pulau itu dengan China walaupun terpaksa menggunakan kekerasan. Meskipun hubungan yang meningkat di antara Beijing dan Taipei sejak Ma menerajui tampuk pentadbiran pada 2008, ancaman tentera dari China semakin meningkat.

Ma Ying-jeou (tengah) menyertai latihan perang ‘Han Kuang 31’ di Hsinchu, semalam. – AFP
Ma Ying-jeou (tengah) menyertai latihan perang ‘Han Kuang 31’ di Hsinchu, semalam. – AFP

Menurut satu laporan yang dihantar oleh kementerian pertahanan Taiwan kepada parlimen bulan lalu, Tentera Pembebasan Rakyat telah menambah jumlah peluru berpandu balistik yang mensasarkan pulau demokratik itu.

Latihan perang hari ini mensimulasikan satu respons terhadap serangan China di mana satu armada kapal musuh menghampiri pelabuhan berhampiran dengan Taman Perindustrian Sains Hsinchu, jawapan pulau kepada Silicon Valley di Amerika Syarikat.

“Latihan amat berjaya. Saya amat yakin kami berupaya mempertahankan keselamatan negara kami,” kata Ma di pangkalan tentera di bukit yang menghadap Selat Taiwan. – AFP