Taiwan tumpas penyeludupan dadah dalam tuna beku

Taiwan tumpas penyeludupan dadah dalam tuna beku

TAIPEI, 23 Julai – Taiwan telah merampas dadah amfetamina bernilai lebih 1.4 bilion yen ($11.3 juta) yang disembunyikan dalam kargo tuna beku di pelabuhan Kaohsiung, kes penyeludupan terbesar dadah yang dihantar ke Jepun, menurut pegawai.

Dua kontena yang menuju ke pelabuhan Shimizu Jepun mengangkut 138kg (304 paun) dadah yang disembunyikan dalam beg plastik dan disumbat dalam perut ikan.

“Seorang pegawai kastam mendapati bayang ganjil dalam perut salah seekor ikan tuna semasa pengimbasan terperinci,” menurut Kementerian Biro Penyiasatan Keadilan dalam satu kenyataan.

Sejauh ini, tiga orang telah ditahan yang berkaitan dengan kes tersebut, menurut biro itu.

Para penyiasat pada awalnya menerima perisikan yang sebuah syarikat penyejukan di selatan Taiwan telah terlibat dalam penyeludupan dadah. Kesemua yang ditangkap bekerja bagi syarikat penyejukan tersebut.

Kenyataan itu mengatakan amfetamina juga tidak dapat dilihat dengan jelas daripada pecahan ais selepas dibekukan dan pengimbasan sinar-x pada awalnya gagal untuk mengesan dadah yang disembunyikan itu.

Harga amfetamina telah meningkat naik di Jepun hampir 60 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan, tambahnya.

Pihak berkuasa masih lagi menyiasat asal dadah itu dan kemungkinan rakan subahat. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA