‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’

‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Sekolah Rendah Dato Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Sekolah Rendah Dato Othman baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Mini Galeri Kenali Negaraku Negara Brunei Darussalam di dewan sekolah berkenaan dalam usaha untuk mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan dan memberikan maklumat secukupnya kepada generasi muda khususnya pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah.

Pelancarannya telah dirasmikan oleh Ketua Bahagian Program dan Unit Akademik Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Lena binti Haji Mohd Hasan.

Penubuhan mini galeri itu adalah untuk memberikan pendidikan yang meluas mengenai negara sendiri sekaligus menanamkan semangat cintakan negara dan tanah air melalui kefahaman terhadap sejarah dan kesultanannya, bak kata pepatah ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta.’

Ia juga merupakan langkah dan inisiatif yang dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab kepada negara iaitu dengan memperkenalkannya di sekolah-sekolah agar para pelajar tahu akan produk dan lokasi tarikan alam semula jadi atau hasil ciptaan manusia yang terdapat di seluruh daerah di negara ini agar mereka menghargai keindahan dan khazanah negara sendiri.

Antara pameran Mini Galeri Kenali Negaraku Negara Brunei Darussalam yang memberi pendidikan meluas mengenai daerah-daerah yang terdapat di negara ini.
Antara pameran Mini Galeri Kenali Negaraku Negara Brunei Darussalam yang memberi pendidikan meluas mengenai daerah-daerah yang terdapat di negara ini.

Pendedahan seperti ini akan dapat memperkukuhkan ilmu pengetahuan asas yang juga dipelajari daripada kurikulum sekolah kepada satu bentuk pembacaan melalui pameran.

Kesinambungan daripada pameran mini galeri ini, beberapa aktiviti lain turut dirancang seperti soalan kuiz mingguan kepada pelajar, ‘Amazing Race Kenali Negaraku’ dan sebagainya.

Pihak sekolah yang turut mengundang para ibu bapa juga berharap agar usaha ini akan dapat mencapai objektifnya dan mendapat sokongan padu daripada pihak jabatan dan Kementerian Pendidikan termasuk kementerian-kementerian lainnya mahupun sektor swasta.

ARTIKEL YANG SAMA