Takaful Brunei Keluarga lancar pelan 3 dalam 1

Takaful Brunei Keluarga lancar pelan 3 dalam 1

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Takaful Brunei Keluarga (TBK) akan melancarkan Takaful Nur Savings, iaitu satu program satu bayaran yang menggabungkan pelan perlindungan insurans, simpanan dan pelaburan yang boleh disertai oleh ramai.

Takaful Nur Savings ditawarkan pada tempoh terhad selama tiga bulan bermula 1 Jun 2015 hingga 31 Ogos 2015 merupakan pelan simpanan jangka pendek yang mampu disertai oleh mereka yang tinggal di negara ini, kata Timbalan Pengurus Besar TBK, Hajah Mahana binti Haji Ajak pada persidangan akhbar yang di Bangunan DAR Takaful Utama di ibu negara hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Penolong Pengurus Besar TBK, Haji Mohd Maszaiwardy bin Haji Masri dan Pegawai Eksekutif Kanan TBK, Dayang Nooramal Fitriyah binti Abdul Rahim.

Menurut Hajah Mahana, Takaful Nur Savings menumpukan kepada menawarkan kemudahan kewangan jika berlaku kemalangan kepada peserta dan pada masa sama menawarkan khidmat simpanan bagi membolehkan pelbagai kegunaan termasuk simpanan untuk pendidikan masa depan anak-anak serta simpanan persaraan.

Hajah Mahana (tengah) menunjukkan poster pelan promosi Takaful Nur Savings.
Hajah Mahana (tengah) menunjukkan poster pelan promosi Takaful Nur Savings.

Menurutnya lagi, skim pelan satu bayaran itu merupakan promosi kedua TBK selepas promosi pertama dilancarkan pada 2013, dengan keistimewaan kali ini ialah Takaful Nur Savings menawarkan pelan perlindungan selama dua tahun yang menawarkan perlindungan 24 jam di seluruh dunia bagi kematian dan hilang upaya kekal bernilai $5,000, simpanan jangka pendek dan pelaburan.

Melalui pelan itu, peserta akan memperoleh manfaat pulangan sebanyak dua peratus setahun untuk selama dua tahun, dengan simpanan minimum sebanyak $2,000.

Oleh sebab pelan itu mematuhi undang-undang Syariah, para peserta juga digalakkan membuat sumbangan ikhlas sebanyak $20, katanya sambil menambah pihaknya tidak menetapkan jumlah maksimum bagi simpanan.

Mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai Takaful Nur Savings boleh menghubungi pejabat Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd di Kompleks Sri Kiulap, Kampung Kiulap.

ARTIKEL YANG SAMA