Takata diseru tingkatkan pengurusan

Takata diseru tingkatkan pengurusan

WASHINGTON, 3 Feb – Pengeluar beg udara Takata diberitahu oleh satu panel bebas semalam supaya meningkatkan pengurusan pengawasan dan automasi tatkala skandal beg udara rosak itu terus menyelubungi industri kereta global.

Panel itu, ditubuhkan oleh syarikat Jepun dan dipimpin oleh Samuel Skinner, bekas setiausaha pengangkutan AS, berkata syarikat perlu memperkukuhkan budaya kualitinya selepas beg udaranya mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 kematian di seluruh dunia akibat letupan mendadak.

Pengatur keselamatan di Amerika Syarikat telah mendapati inflator yang dipasang pada beg udara boleh pecah, menyelerakkan serpihan pada penghuni kereta. Beberapa tumpuan siasatan adalah pada kestabilan bahan dorong kimia dalam inflator.

Panel Skinner tidak ditugaskan untuk mencari kesalahan yang timbul dalam kerosakan beg udara, sebaliknya melihat bagaimana syarikat, yang dituduh menutup masalah tersebut bertahun-tahun lamanya, harus menjalani pembaharuan akan datang.

Ia mendapati program Takata untuk mengawasi kualiti beg udaranya, dipasang dalam berpuluh juta kereta di seluruh dunia, tidak direka dan distrukturkan dengan baik, dan terlalu banyak bergantung pada pengawasan pengeluar kereta itu.

Syarikat Takata yang sebelum ini diselubungi skandal beg udara bermasalah. – Reuters
Syarikat Takata yang sebelum ini diselubungi skandal beg udara bermasalah. – Reuters

“Tidak adanya satu program Takata yang bertujuan mengenal pasti masalah berkaitan dengan kualiti dengan produk Takata sebaik sahaja mereka dipasang dalam kenderaan. Dan terdapat sistem formal yang terhad untuk menggabung dan menganalisis maklumat yang dikumpulkan oleh Takata,” kata laporan.

Panel juga merujuk kepada satu masalah berpotensi dengan beg udara: Bahan dorong inflator selalunya dipasang dengan tangan, bukannya mesin.

“Beberapa aspek keselamatan operasi Takata dilakukan secara manual,” katanya.

“Takata harus beralih kepada pemasangan bahan dorong secara automatik dan mencari peluang untuk menambah bantuan mesin dalam pelipatan beg udara,” kata panel. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA