Taklimat anti-doping pra kejohanan

Taklimat anti-doping pra kejohanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Sebagai inisiatif untuk mendidik, mencegah dan mengelak timbulnya isu-isu doping di kalangan para atlet Taekwondo di negara ini, Persatuan Taekwondo Negara Brunei Darussalam (BDTA), dengan kerjasama Jawatankuasa Anti Doping Brunei Darussalam (BDADC), baru-baru ini menganjurkan bagi kali pertama Taklimat Anti Doping Pra Kejohanan di Lecture Theatre, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Mewakili BDADC dan menyampaikan ceramah itu ialah Pegawai Pendidikan di Kementerian Pendidikan, Awang Sukardi bin Kaderi, dengan dibantu oleh Dayang Fatimah binti Haji Metali dari Jabatan Belia dan Sukan. Majlis taklimat itu dihadiri oleh para peserta Kejohanan Taekwondo Brunei Ke-3.

Awang Sukardi mengetengahkan mengenai bagaimana doping atau pengambilan bahan terlarang menjadi isu yang serius dalam sukan, yang jika para atlet diuji positif, bakal memberikan kesan yang berat bukan sahaja kepada para atlet malah menjejaskan imej negara yang mereka wakili.

Sesi bergambar ramai para peserta yang mengikut majlis taklimat berkenaan.
Sesi bergambar ramai para peserta yang mengikut majlis taklimat berkenaan.
Awang Sukardi ketika menyampaikan taklimat tersebut.
Awang Sukardi ketika menyampaikan taklimat tersebut.

Beliau mengongsi beberapa kes dari negara-negara lain dan turut menyentuh banyak topik termasuk Kod Anti Doping Dunia, apa yang dianggap sebagai doping dan senarai bahan-bahan terlarang.

Awang Sukardi turut berkongsi memuji inisiatif yang diambil oleh BDTA dan berharap para atlet akan mengambil serius masalah doping sekali gus mengelak daripada terjerumus melakukan perkara tidak bermanfaat tersebut.

Kejohanan Taekwondo Brunei Ke-3 akan berlangsung mulai 27 sehingga 29 November di Kompleks Sukan Sungai Kebun.

ARTIKEL YANG SAMA