Taklimat elak jangkitan Zika

Taklimat elak jangkitan Zika

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, hari ini, telah mengadakan sesi taklimat mengenai isu kebersihan bagi mengelakkan jangkitan virus Zika untuk pengetua/guru besar sekolah atau maktab di bawah kluster 1 hingga 4 yang bertanggungjawab dalam hal kesihatan di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), di sini.

Ketua Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE), Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Nazrul Arif bin Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Zain semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, inisiatif taklimat berkenaan merupakan kesinambungan serta komitmen Bahagian HSSE melalui kerjasama Kementerian Kesihatan untuk memberigakan kepada pengetua/guru besar sekolah/maktab bagi mengambil langkah berjaga-jaga dalam memelihara kebersihan di sekolah atau maktab masing-masing demi menjamin kesihatan dan keselamatan warga sekolah khususnya para pelajar yang boleh terdedah kepada risiko jangkitan virus Zika.

Beliau berkata, berdasarkan daripada maklumat-maklumat yang diterima oleh Kementerian Kesihatan dan maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), insiden jangkitan virus Zika ini telah berlaku di beberapa buah negara termasuk di Asia Tenggara, tetapi setakat ini tiada kes dicatatkan di Negara Brunei Darussalam.

“Walau bagaimanapun kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar virus Zika ini dapat dicegah melalui tindakan yang tertentu dan relevan.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua sama ada yang bertugas di sekolah mahupun di pejabat untuk sentiasa berwaspada dengan meningkatkan kefahaman tentang punca merebaknya jangkitan virus zika dan tatacara menanganinya,” ujar beliau.

Salah seorang pegawai menyampaikan taklimat mengenai virus Zika.
Salah seorang pegawai menyampaikan taklimat mengenai virus Zika.

Taklimat berkenaan mengetengahkan dan menyentuh tiga perkara utama iaitu mengenai jangkitan penyakit virus zika, pengawalan pembiakan nyamuk melalui perkhidmatan kawalan vektor dan kebersihan sekolah atau maktab.

Tiga perkara berkenaan akan dapat membantu para pengetua dan guru besar sekolah dan maktab melaksanakan langkah pencegahan awal berpandukan kepada amalan terbaik serta memastikan kebersihan alam sekitar di sekolah atau maktab bebas daripada tempat pembiakan nyamuk dengan mengenal pasti dan menghapuskan kawasan-kawasan pembiakan nyamuk, mengosongkan, membersihkan atau menutup bekas yang boleh menyebabkan air bertakung.

Pengiran Nazrul dalam ucapannya juga berharap para pengetua dan guru besar sekolah atau maktab agar sentiasa mengetahui perkembangan terkini melalui media massa, laman web sesawang Kementerian Kesihatan atau dengan menghubungi talian hotline 123.

Pada majlis itu, taklimat telah disampaikan oleh Dr Mohammad Hussein yang menjelaskan mengenai Penyakit virus Zika, Awang Julaini bin Haji Bini mengenai isu kawalan vektor dan Dayang Hanisah binti Haji Matsah mengenai isu kebersihan sekolah-sekolah.

Menurut kenyataan itu lagi, taklimat berkenaan akan dilaratkan kepada pengetua dan guru besar sekolah dan maktab yang bertugas di Daerah Tutong dan Daerah Belait di bawah Kluster 5 dan 6 pada 8 Oktober ini, bertempat di Pusat Tingkatan Enam Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA