Taklimat faedah ISIC di PLM

Taklimat faedah ISIC di PLM

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Satu pasukan dari Anthony Tours & Travel Agency, selaku ejen pengedar rasmi Kad Pengenalan Pelajar Antarabangsa (ISIC) di Brunei, hari ini, telah mengadakan sesi taklimat di Pusat Latihan Mekanik (PLM) untuk menerangkan mengenai faedah ISIC.

Taklimat antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai diskaun-diskaun dan faedah seperti di restoran-restoran, kedai buku, hotel dan kedai-kedai lain di dalam negara di samping peluang-peluang global bagi pelajar-pelajar dan guru menerusi ISIC.

Selain taklimat, pasukan berkenaan turut memberikan baucar-baucar khas tajaan beberapa rakan-rakan berkepentingan ISIC di Brunei yang termasuk The Body Shop, Piccolo Café, Pizzahut, Coffee Bean & Tea Leaf, Ideal Café & Grill, Brunei River Cruise dan banyak lagi.

Sebelum ini, taklimat sama juga telah diadakan di beberapa buah institusi pendidikan lain termasuk Kolej Cosmopolitan pada 19 Januari dan Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) pada 17 Mac, manakala itu, esok ia akan diadakan di Sekolah Perdagangan dan merancang untuk mengunjungi lebih banyak sekolah-sekolah lain.

Taklimat dalam acara-acara berkenaan disampaikan oleh Dayang Ammelia Chong dari Bahagian Pemasaran, dan Pengurus Jualan dan Pemasaran, Dayangku Mahani binti Pengiran Tajudin.

Ammelia Cheong bergambar ramai bersama guru-guru dari MKJB.
Ammelia Cheong bergambar ramai bersama guru-guru dari MKJB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Persatuan ISIC merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menjadi tulang belakang ISIC.

Kad ISIC adalah satu-satunya bukti bona fide status pelajar yang diterima antarabangsa.

Ditubuhkan pada 1953, kad ISIC kini dikeluarkan kepada pelajar-pelajar lebih 130 buah negara. Ia bukanlah kad eksklusif, yang mana semua pelajar berusia 12 tahun ke atas boleh membeli kad ISIC pada harga mampu milik.

Dengan kad itu, pelajar ISIC layak menerima faedah dan diskaun bagi produk-produk, perkhidmatan dan pengalaman yang berkaitan dengan semua aspek kehidupan pelajar, daripada lesen perisian dan akses ke panggung wayang, kedai-kedai buku, pengangkutan awam, kafe dan restoran.

Menerusi pelbagai peluang yang diberikan kepada pemegang kad, Persatuan ISIC bermatlamat untuk memainkan peranan sokongan dalam memperbaiki persefahaman pelbagai budaya, meningkatkan peluang-peluang pendidikan dan memudahkan kehidupan pelajar di seluruh dunia. Dalam hal ini, kad ISIC telah disokong oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 1968.

ARTIKEL YANG SAMA