Taklimat Kelas Tuisyen dianjur

Taklimat Kelas Tuisyen dianjur

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah mengadakan Taklimat Kepada Ibu Bapa Penjaga Projek Kelas Tuisyen, Program ‘Intervention’ Pendidikan (PIP) Yayasan bagi Daerah Brunei dan Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Haji Awang Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Urusan 1, Yayasan, Haji Musthapa bin Haji Matahir bersama Penolong Pengarah Urusan 3 Yayasan, Dayang Donnaliza binti Abdullah Puasa.

Taklimat Projek Kelas Tuisyen yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat Tingkatan Enam Sengkurong itu dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga seramai 89 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di Daerah Brunei dan Muara yang bernasib baik terpilih untuk mengikutinya.

Penyampai taklimat, Pemangku Guru Besar Sekolah Rendah Yayasan, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali telah memberikan penerangan terperinci supaya para ibu bapa, penjaga dan anak-anak mereka mendapat tanggapan lebih jelas mengenai Projek Kelas Tuisyen di bawah Program ‘Intervention’ Pendidikan, kelolaan Yayasan.

Antara ibu bapa dan pelajar yang hadir mendengar taklimat Projek Kelas Tuisyen di Dewan Kuliah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.
Antara ibu bapa dan pelajar yang hadir mendengar taklimat Projek Kelas Tuisyen di Dewan Kuliah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.
Dayang Donnaliza menyampaikan taklimat kepada ibu bapa dan para pelajar yang hadir.
Dayang Donnaliza menyampaikan taklimat kepada ibu bapa dan para pelajar yang hadir.

Semasa persembahan slaid, beliau memetik pencapaian Projek Kelas Tuisyen pada 2015, yang mana empat orang pelajar yang ditawarkan biasiswa khas untuk melanjutkan pelajaran mereka di Sekolah Yayasan telah berjaya menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

Program ini merupakan salah satu inisiatif Yayasan untuk membantu kanak-kanak yang dikenal pasti memerlukan bimbingan rapi dalam akademik serta daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.

Usaha itu juga bagi memastikan anak-anak daripada keluarga yang dikenal pasti dapat meneruskan pengajian dengan sempurna ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Ibu bapa yang menghadiri sesi taklimat itu bersama anak-anak mereka juga dimaklumkan mengenai tarikh kelas-kelas tuisyen bermula 21 Februari 2016, waktu setiap pembelajaran bermula dan berakhir serta pusat-pusat tuisyen yang mengendalikan subjek tertentu.

Pusat tuisyen yang akan ditetapkan termasuk Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong, Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kiudang, Sekolah Menengah PJN Pengiran Haji Abu Bakar Pandan Tujuh, Kuala Belait dan Sekolah Rendah Rataie di Temburong.

Turut menyampaikan taklimat ialah Dayang Donnaliza dan Penceramah Motivasi dari Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor yang menyentuh mengenai merangsang semangat para pelajar supaya rajin menimba ilmu pengetahuan.