Taklimat kenali Perintah Ketidaksolvenan

Taklimat kenali Perintah Ketidaksolvenan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Perintah Ketidaksolvenan, 2016 bermatlamat untuk memberikan penekanan yang menjurus kepada penstrukturan semula dan pemulihan syarikat serta perlindungan kepada si penghutang dan pemiutang.

Bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Perintah Ketidaksolvenan (Insolvency Order), 2016 yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2016, taklimat mengenainya telah diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, hari ini.

Taklimat yang dikendalikan oleh Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan di Kementerian Kewangan bersama-sama Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri itu dihadiri oleh wakil-wakil daripada Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Jabatan Agensi Pelaburan dan Bahagian Pelaburan di Kementerian Kewangan, Darussalam Assets Sdn Bhd, Persatuan Bank-bank Brunei, Brunei Darussalam Deposit Protection Corporation (BDPC), Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam dan dewan-dewan perniagaan di Brunei.

Penerangan mengenai perintah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Pendaftar, Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan, Hajah Rena Azlina binti Dato Paduka Haji Abdul Aziz.

Hajah Rena Azlina memberikan penerangan mengenai Perintah Ketidaksolvenan, 2016 semasa sesi taklimat itu.
Hajah Rena Azlina memberikan penerangan mengenai Perintah Ketidaksolvenan, 2016 semasa sesi taklimat itu.

Perintah yang baru diperkenalkan itu mengandungi peruntukan-peruntukan penggulungan berhubung ketidaksolvenan korporat yang terdapat di bawah Akta Syarikat (Penggal 39).

Perintah berkenaan bertujuan untuk memberikan lebih penekanan terhadap penstrukturan semula dan pemulihan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan operasi bagi tempoh sementara.

Syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan operasi bagi tempoh sementara boleh memohon bagi company voluntary arrangement yang membolehkan sesebuah syarikat berunding dengan pihak pemiutang (creditors) bagi penstrukturan semula (restructuring) hutang piutang atau penyusunan semula syarikat.

Bagi melengkapkan peruntukan itu, dalam penggulungan sesebuah syarikat, pembayaran hutang juga akan disenaraikan mengikut keutamaan daripada semua hutang tidak bercagar (unsecured debts).

Maklumat lanjut mengenai Perintah Ketidaksolvenan, 2016 boleh diperoleh di laman sesawang www.mof.gov.bn atau www.business.gov.bn. Salinan perintah itu juga boleh didapatkan di Jabatan Percetakan Kerajaan atau boleh dimuat turun daripada laman sesawang Pejabat Peguam Negara, www.agc.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA