Taklimat kesedaran kanser payudara

Taklimat kesedaran kanser payudara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEAGWAN, 7 Okt – Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG) dengan kerjasama IA Salon hari ini, telah mengadakan taklimat mengenai kanser payudara dalam sama-sama mengutip dana bagi menyokong unit kanser payudara melalui sumbangan daripada pelanggan-pelanggan salon tersebut.

Taklimat yang diadakan di IA Salon, The Mall, Gadong itu dihadiri lebih 20 orang awam dan para pelanggan setia IA salon serta Pengurus IA Salon, Cecilia Lee.

Hadir bagi menyampaikan ceramah kesedaran itu ialah Setiausaha BBCSG, Matron Ratu Dayangku Hajah Jaliha binti Pengiran Haji Hawa Momin.

Beliau dalam taklimat itu menyentuh mengenai pencegahan dan pengesanan awal kanser payudara seperti dengan mengadakan ‘Breast Self-Examination (BSE)’ dengan kerap untuk memantau kesejahteraan wanita.

Di samping taklimat pendidikan mengenai kanser payudara, pihak BBCSG juga menunjukkan cara-cara pemeriksaan sendiri payudara yang amat penting bagi mendiagnosisnya lebih awal.

Matron Ratu Hajah Dayangku Jaliha semasa menyampaikan taklimat tersebut.
Matron Ratu Hajah Dayangku Jaliha semasa menyampaikan taklimat tersebut.
Antara yang hadir semasa taklimat itu.
Antara yang hadir semasa taklimat itu.

Taklimat ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai kanser payudara dengan mendiagnosisnya lebih awal bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang diadakan setiap tahun pada bulan Oktober.

Dalam pada itu, Pengurus IA Salon menjelaskan taklimat itu diadakan sejajar dengan misi BBCSG untuk membantu wanita muda melindungi kesihatan payudara mereka dan mengurangkan risiko kanser payudara, dengan pasukannya berharap orang awam akan dapat menyumbang bagi menyebarkan kesedaran itu dengan menyertai mereka semasa taklimat berkenaan.

Beliau percaya bahawa taklimat itu dapat memberi manfaat dan menggalakkan kaum wanita untuk melakukan cara hidup seharian dengan bijak yang dapat memberi impak yang positif pada masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA