Taklimat kesedaran kesihatan memakan buah-buahan

Taklimat kesedaran kesihatan memakan buah-buahan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Pesta Durian dan Buah-Buahan yang dikendalikan bersama oleh Bintudoh Greenspring Resort, Raw Food Asia dan AZ B2N Tour Services bermula hari ini sehingga 6 Sept, bukan sahaja untuk memperkenalkan dan mempamerkan jenis-jenis buah, malahan turut menyediakan beberapa aktiviti dan taklimat kesihatan.

Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong semasa sidang media, hari ini, di Bintudoh Greenspring Resort di mana pesta berlangsung berkata, beberapa taklimat kesihatan mengenai kebaikan memakan buah-buahan akan diadakan, dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai faedah dan kebaikannya memakan buah-buahan.

Menurutnya, Daerah Tutong banyak menghasilkan buah-buahan segar dan tidak menggunakan proses atau bahan pengawet yang digunakan oleh kebanyakan negara, oleh itu, buah-buah di negara ini dijamin selamat untuk dimakan.

Taklimat mengenai kesihatan dan memakan buah-buahan tempatan akan disampaikan oleh dua orang selebriti kesihatan terkenal dalam media sosial iaitu Durian Rider dan Freelee the Banana Girl yang didatangkan khas oleh Raw Food Asia, ujarnya.

Semasa sidang media itu, kedua-dua selebriti kesihatan berkenaan turut berkongsi pengalaman mereka datang ke Brunei buat pertama kali semata-mata bagi memeriahkan lagi pesta berkenaan.

Durian Rider (kanan), Freelee the Banana Girl (kiri) bersama Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong (tengah)semasa sidang media dijalankan di Pesta Durian dan Buah-buahan di Bintudoh Greenspring Resort.
Durian Rider (kanan), Freelee the Banana Girl (kiri) bersama Pengasas Raw Food Asia, Mewsum Wong (tengah)semasa sidang media dijalankan di Pesta Durian dan Buah-buahan di Bintudoh Greenspring Resort.

Freelee the Banana Girl meluahkan perasaan amat teruja dan beruntung kerana berpeluang datang ke negara ini dan ingin merasa buah-buahan tempatan.

Menurutnya, beliau sangat kagum dan mengetahui Brunei memiliki beberapa jenis durian yang unik dan, di negara ini juga, beliau buat kali pertamanya mencuba buah tarap.

Dalam pesta berkenaan, Durian Rider yang terkenal sebagai seorang pelumba basikal akan turut menyertai acara basikal ‘Bikeathon’ dari Bintudoh Greenspring Resort menuju Tasek Merimbun dan kembali ke Bintudoh Greenspring Resort pada 6 September ini.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti acara berbasikal tersebut, pendaftaran dibuka sehingga esok (4 September) dengan bayaran $2.

Mewsum dan rakan kongsinya yang lain berharap acara berbasikal ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan dan menyasarkan 150 orang peserta.

Para peserta acara berbasikal itu juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.

ARTIKEL YANG SAMA