Taklimat mantapkan jaminan sijil halal

Taklimat mantapkan jaminan sijil halal

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Kementerian Hal Ehwal Ugama menerusi Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah mengadakan sesi taklimat untuk pengusaha bersijil halal hari ini bagi memantapkan lagi jaminan Sijil Halal kepada masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam daripada aspek kawalan kualiti halal dan kebersihan di restoran-restoran yang bersijil halal.

Taklimat tersebut yang dikhususkan untuk pengusaha-pengusaha restoran termasuk pemilik dan pengurus restoran yang sudah mendapat sijil halal daripada Majlis Ugama Islam Brunei,  disampaikan oleh Pegawai dari Bahagian Kawalan Makanan Halal, Awang Mohd Noorsuffian bin Haji Yahya.

Seramai 21 orang pengusaha restoran menghadiri taklimat tersebut yang turut menyentuh mengenai kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005.

Menurut Awang Mohd Noorsuffian, halal bermaksud bersih dan suci iaitu asal sesuatu makanan itu manakala Toyyib bermaksud baik iaitu cara penyediaan makanan tersebut.

Pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal semasa menyampaikan taklimat.
Pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal semasa menyampaikan taklimat.
Antara pengusaha yang menghadiri taklimat tersebut, kelmarin.
Antara pengusaha yang menghadiri taklimat tersebut, kelmarin.

Bagi menyempurnakan konsep ‘Halalan Toyyiban’ beliau turut menekankan mengenai kepentingan aspek Toyyiban, di mana pengusaha-pengusaha makanan perlu mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan di samping mengetahui kehalalannya.

Tambah beliau,  Bahagian Kawalan Makanan Halal aktif menjalankan audit pemantauan secara mengejut ke atas premis-premis yang sudah mempunyai sijil halal, bagi memastikan pengusaha-pengusaha makanan sentiasa mematuhi kehendak dan syarat sijil halal, dan prinsip Halalan Toyyiban sentiasa diamalkan di restoran seharian.

ARTIKEL YANG SAMA