Taklimat mudahkan pendaftaran syarikat

Taklimat mudahkan pendaftaran syarikat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Okt – Bagi memberigakan maklumat mengenai pendaftaran syarikat dan nama-nama perniagaan secara online yang mudah, cepat dan boleh diakses bila-bila masa, Kementerian Kewangan mengadakan Taklimat Mengenai Pendaftaran Syarikat dan Perniagaan Secara Online dan Perintah Penyimpanan Rekod-rekod (Perniagaan) 2015 bagi Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait hari ini.

Ia menyusuli taklimat sama yang pernah diadakan di Daerah Temburong anjuran kementerian itu bagi memudahcara proses memulakan perniagaan.

Taklimat diisi dengan kepentingan menyimpan rekod-rekod perniagaan yang teratur selaras dengan Perintah Penyimpanan Rekod-rekod (Perniagaan) 2015 yang akan membantu peniaga merangka perancangan kewangan lebih teratur, membuat keputusan kewangan bagi perniagaan dan menarik pelabur-pelabur yang berpotensi.

Menurut Pengarah Pendaftaran Syarikat dan Perniagaan, Kementerian Kewangan, Hajah Nurliati binti Haji Mohd Idris, taklimat turut mengongsikan mengenai sistem pendaftaran secara online dan nama-nama syarikat baru yang telah mula diperkenalkan pada 1 Januari lalu.

Taklimat juga adalah untuk memastikan apa jua kemudahan yang telah disediakan dapat digunapakai lebih-lebih lagi kemudahan online berdasarkan perkembangan IT pada masa ini.

Para peniaga dan pengusaha syarikat di Daerah Belait yang menghadiri Majlis Taklimat Pendaftaran Syarikat dan Perniagaan Secara Online dan Perintah Penyimpanan Rekod-rekod (Perniagaan) 2015.
Para peniaga dan pengusaha syarikat di Daerah Belait yang menghadiri Majlis Taklimat Pendaftaran Syarikat dan Perniagaan Secara Online dan Perintah Penyimpanan Rekod-rekod (Perniagaan) 2015.

“Dengan adanya sistem ini, orang ramai tidak lagi perlu ke pejabat atau ke kaunter pejabat kerana mereka boleh mendaftar melalui online dan mengongsikan manfaat pendaftaran online dengan pembayaran dan membeli informasi bagi pendaftaran syarikat baru secara online,” tambahnya.

Beliau juga menjelaskan dengan adanya sistem pendaftaraan secara online proses pendaftaran begitu mudah dan cepat, berbanding sebelumnya mengambil masa dua hingga empat hari tetapi kini ia hanya mengambil masa sehari atau beberapa minit selain keterangan yang diperlukan untuk proses itu juga ringkas iaitu sekadar cukup memenuhi kehendak pendaftaran berkenaan.

“Dengan adanya sistem online ini akan lebih memudahkan orang ramai yang berhasrat untuk memulakan perniagaan mereka, kerana jika hendak memulakan perniagaan langkah pertama adalah mendaftarkan nama syarikat,” ujarnya.

Taklimat hari ini telah disampaikan oleh Hajah Nurliati, selain turut disampaikan oleh Pegawai Kewangan (Bahagian Hasil), Pengiran Haji Abdul Azim bin Pengiran Mohd Hassan, Pegawai Kewangan Kanan (Pendaftaran Syarikat) Dayang Mariana binti Abdullah Tujuh dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Bahagian Hasil) Haji Ahmad Zamri bin Haji Abd Razak.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Yusof bin Dulamin, hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha syarikat Daerah Belait serta pegawai-pegawai kerajaan di Daerah Belait.

Taklimat yang sama seterusnya akan diadakan di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong, untuk maklumat lanjut orang ramai disarankan untuk melayari laman sesawang kementerian itu www.mof.gov.bn.