Taklimat pengambilan pekerja asing

Taklimat pengambilan pekerja asing

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Ogos – Jabatan Buruh hanya akan membukakan penerimaan permohonan untuk menuntut baki wang taruhan pengambilan pekerja asing yang telah dibayar oleh majikan sebelum ini bermula pada 9 Januari 2017.

Manakala itu, perubahan dan tatacara pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing akan dikuatkuasakan bermula 1 September depan.

Perkara itu telah dinyatakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof pada Majlis Jerayawara Pemberigaan Polisi Pembayaran Wang Taruhan Pengambilan Pekerja Asing, berlangsung di Dewan Persidangan, di sini, hari ini.

Jerayawara tersebut bertujuan untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada para majikan khususnya berhubung dengan perubahan dan tatacara dalam pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing, iaitu secara Jaminan Insurans/Takaful Pekerja Asing (JITPA) selain secara tunai dan dengan menggunakan jaminan bank yang lazim digunakan pada masa ini.

JITPA merupakan satu kaedah pembayaran wang taruhan yang baru diperkenalkan di negara ini, dan ia termasuk dalam perubahan yang akan mula dikuatkuasakan awal September ini, di samping kadar wang taruhan pengambilan warga asing diturunkan kepada kadar yang lebih rendah dan berpatutan.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh ketika memberikan penerangan kepada para majikan.
Pemangku Pesuruhjaya Buruh ketika memberikan penerangan kepada para majikan.

Dengan penguatkuasaan itu, kadar wang taruhan pengambilan pekerja asing adalah $500 bagi pekerja dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura, $700 (daripada $900 sebelumnya) bagi pekerja dari Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam, dan kadar $1,600 (berbanding $1,800) bagi pekerja India, Bangladesh, Pakistan, China, Sri Lanka, Jepun, Nepal dan Taiwan.

Bagi kadar wang taruhan pekerja-pekerja dari Australia dan New Zealand pula ialah $2,000 berbanding kadar $2,600 pada masa ini, sementara itu bagi pekerja dari Mauritius, Seychelles, Fiji, Kiribati, dan negara-negara benua Oceania kadar wang taruhan masih tidak berubah iaitu $2,600.

Manakala itu, bagi pekerja dari United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali dan negara-negara di benua Eropah kadar wang taruhan baru ialah $3,300 dan negara-negara di kawasan Asia Tengah, benua Amerika Utara, Amerika Selatan dan Afrika sebanyak $4,000 berbanding $4,500, kadar wang taruhan pada masa ini.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh yang mempengerusikan jerayawara berkenaan, dalam ucapannya juga menyarankan para majikan khususnya pengurus syarikat untuk menghubungi operator insurans/takaful yang berdaftar di negara ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk JIPTA berkenaan.

Pada masa ini, katanya, syarikat yang mengeluarkan produk tersebut adalah Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA).

ARTIKEL YANG SAMA