Taklimat peraturan hormati hari Jumaat

Taklimat peraturan hormati hari Jumaat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Rakyat dan penduduk negara ini terutama yang beragama Islam menyambut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar semua premis perniagaan ditutup buat sementara waktu sehingga selesai sembahyang Fardu Jumaat.

Untuk memastikan titah Baginda Sultan dilaksanakan dengan baik, Pusat Dakwah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Islam hari ini mengadakan taklimat mengenai peraturan waktu bekerja pada Hari Jumaat, peraturan di Bulan Ramadhan dan banyak lagi.

Hadir menyampaikan taklimat ialah Ustaz Kamal Leang dari Unit Dakwah Khas Bahagian Perkembangan Islam; Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Hajah Siti Rahmah binti Haji Julaihi dan Ketua Unit Dakwah Khas, Pengiran Jefri.

Di bawah peraturan tersebut, semua premis perniagaan, pejabat, pusat-pusat hiburan, rekreasi dan sukan termasuk pawagam dan padang permainan, gerai/tamu dan gedung-gedung perniagaan harus ditutup dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang untuk menghormati Hari Jumaat.

Ustaz Kamal Leang dan Hajah Siti Rahmah ketika menyampaikan taklimat mengenai peraturan hormati hari Jumaat.
Ustaz Kamal Leang dan Hajah Siti Rahmah ketika menyampaikan taklimat mengenai peraturan hormati hari Jumaat.
Pengarah urusan Kingston ketika memberikan taklimat.
Pengarah urusan Kingston ketika memberikan taklimat.

Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui unit-unit di bawah Jabatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, mengadakan taklimat berkenaan setiap dua bulan di sektor-sektor swasta di ibu negara.

Usaha berkenaan bertujuan untuk memberikan pemahaman agar setiap syarikat di sektor swasta sentiasa mematuhi peraturan yang telah dititahkan oleh Baginda Sultan dan menghormati Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari.

Hadir semasa sesi taklimat tadi ialah Pengarah Urusan Kingston Beverage & Creamery, Valentine Hon. Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan di PDI, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd dan jemputan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA