Taklimat persiapan bakal jemaah haji SCA

Taklimat persiapan bakal jemaah haji SCA

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Strait Central Agencies (SCA) Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat yang dilantik untuk mengendalikan pakej haji, hari ini, mengadakan taklimat untuk seramai 160 orang bakal jemaah haji bertempat di Restoran Tarindak d’Polo, Jerudong.

Bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 2016 bagi penerbangan 18 Ogos dan 21 Ogos 2016 ini dinasihatkan supaya membuat persediaan menyeluruh sama ada dari segi mental dan rohani sebelum berangkat menunaikan ibadah haji dan umrah.

Ini adalah supaya pemergian mereka ke tanah suci itu benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah mereka, ujar Haji Rafi bin Haji Nooruddin dari SCA.

Pada majlis itu, taklimat disampaikan oleh Imam Masjid Universiti Brunei Darussalam, Haji Ahmad Tarmizi bin Haji Daud dan ceramah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dr Haji Ismuhadi bin Abdullah yang menasihatkan para bakal jemaah haji supaya mengambil maklum dan memahami perbezaan keadaan dan iklim di Mekah, Madinah dan Arafah yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Dr Haji Ismuhadi dan Haji Ahmad Tarmizi menyampaikan taklimat dan ceramah untuk para bakal jemaah haji di bawah SCA Sdn Bhd.
Dr Haji Ismuhadi dan Haji Ahmad Tarmizi menyampaikan taklimat dan ceramah untuk para bakal jemaah haji di bawah SCA Sdn Bhd.
Seramai 160 bakal jemaah haji di bawah SCA hadir mendengarkan taklimat haji dan ceramah agama.
Seramai 160 bakal jemaah haji di bawah SCA hadir mendengarkan taklimat haji dan ceramah agama.

Menurutnya, perkara ini perlu diambil perhatian kerana bakal jemaah haji di tanah suci nanti akan menggunakan banyak tenaga dalam melakukan peribadatan seperti menunaikan sembahyang lima waktu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Selain itu, dalam mengerjakan ibadat umrah, tawaf, saie dan melontar jamrah di samping melalui perjalanan yang mengambil masa lama dan jauh, di mana semua ini memerlukan tenaga yang banyak dan juga memerlukan ketabahan serta kesabaran, tambahnya.

Dr Haji Ismuhadi juga menasihatkan para bakal jemaah haji agar menahan amarah masing-masing dan sentiasa bersabar apabila mengerjakan haji.

“Kerana orang yang pergi haji dengan tidak ada pertengkaran dan tidak berbantah-bantah atau menzalimi sesama sendiri, mereka itu sama seperti bayi yang baru saja lahir,” tambah Dr Haji Ismuhadi.

ARTIKEL YANG SAMA