Taklimat persiapan pertandingan pertunjukan sains OGDC

Taklimat persiapan pertandingan pertunjukan sains OGDC

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 7 Mei – Sebagai persiapan Pertandingan Pertunjukan Sains, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) telah mengadakan majlis taklimat bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Tiga buah sekolah iaitu, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Pusat Tingkatan Enam Tutong dan Sekolah Menengah Sultan Hassan di Temburong telah menjadi tumpuan pertemuan bagi taklimat tersebut, selain turut diadakan di OGDC dekat sini.

Pihak OGDC kelmarin, menyatakan, sambutan yang diberikan oleh sekolah-sekolah ke atas pertandingan itu, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kreativiti serta inovasi dalam sains, begitu menggalakkan dan banyak sekolah-sekolah yang berminat dan membuat pendaftaran untuk menyertainya.

Semasa taklimat itu, OGDC turut mengumumkan bahawa tarikh tutup bagi penyertaan pertandingan tersebut adalah pada 22 Mei 2015, selain menyarankan supaya membuat pendaftaran dalam talian melalui laman sesawang mereka (www.ogdcbrunei.com) dan semua video dan skrip hendaklah dikemukakan melalui laman Facebook OGDC di facebook.com/Brunei.ogdc.

OGDC juga menyatakan, dalam memberikan persembahan yang baik dalam pertandingan itu nanti, peserta digalakkan menghasilkan persembahan yang sedikit luar biasa, selain mempunyai sedikit humor bagi mewujudkan suasana santai dan menghiburkan penonton yang terdiri daripada kalangan para pelajar, dengan hasrat penganjur supaya pembelajaran sains menyeronokkan, bertenaga, selain memberikan ilmu pengetahuan yang berguna.

Lima buah pasukan dijangka akan bersaing di hadapan hakim jemputan, dan peringkat akhir pertandingan akan berlangsung pada 8 Jun di Institut Teknologi Brunei (ITB).

Pemenang pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $600, tempat kedua $300 dan ketiga $200, di samping pingat dan sijil penyertaan. Satu hadiah tambahan juga akan diberikan bagi skrip terbaik dengan hadiah wang tunai $100.

Bagi mendapatkan sebarang bantuan bagi menghasilkan persembahan pertunjukan sains yang berprestasi, sekolah yang berminat untuk menyertai juga dialu-alukan untuk menghubungi pihak OGDC dengan menghantar e-mel ke alamat info@ogdcbrunei.com atau hubungi talian 3377200.

Satu sesi tunjuk ajar percuma tentang bagaimana membuat persembahan sains juga akan diberikan kepada sekolah yang berminat hendak mengambil bahagian.

ARTIKEL YANG SAMA