Taklimat PKBN pengambilan ke-6

Taklimat PKBN pengambilan ke-6

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Peserta, ibu bapa dan pengawas Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) pengambilan ke-6 yang akan bermula pada 4 Disember depan, hari ini menghadiri satu sesi taklimat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Taklimat disampaikan oleh Timbalan Penasihat Kanan Undang-undang, Hajah Norbae’yah binti Haji Yahya dan Komandan Kem PKBN, Mejar (B) Awang Mohammad bin Dollah.

Pada taklimat itu, Hajah Norbae’yah menyampaikan mengenai latihan dan aktiviti yang akan dijalankan oleh para pelatih PKBN selama tiga bulan nanti, kemudahan-kemudahan yang disediakan, barang keperluan yang perlu dibawa oleh para pelatih yang akan menjalani latihan di kem baru di Batu Apoi, Daerah Temburong.

Mereka juga diberikan penjelasan mengenai peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi setiap pelatih semasa program berlangsung dan pemakanan mereka di sana.

Hadir pada majlis taklimat itu ialah Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkfli (tiga dari kiri) menyampaikan ucapan alu-aluannya diikuti dengan Taklimat Undang-undang dan Makanan serta Minuman oleh Mejar (B) Awang Mohammad (empat dari kiri) dan Hajah Noorbae’yah (kiri).
Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkfli (tiga dari kiri) menyampaikan ucapan alu-aluannya diikuti dengan Taklimat Undang-undang dan Makanan serta Minuman oleh Mejar (B) Awang Mohammad (empat dari kiri) dan Hajah Noorbae’yah (kiri).

Salah seorang bapa seorang pelatih, Haji Abdullah bin Mat Jair ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur anak beliau, Awang Mohd Saipon diberi peluang menyertai PKBN kali ini. Menurutnya, beliau berharap anaknya menerima pelbagai pengajaran daripada latihan ini, bukan sahaja dalam aspek disiplin, malah kecergasan.

“Penghantaran pelatih PKBN ke lokasi latihan baru di Daerah Temburong membuatkan ia lebih baik, kerana mereka akan berjauhan daripada keluarga membolehkan mereka berdikari dan menumpukan perhatian kepada latihan tersebut,” tambahnya.

Pada tahun ini, seramai 386 pelatih akan menyertai Program PKBN yang merupakan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha mewujudkan, melahirkan generasi belia yang dinamik, berdaya saing, bertanggungjawab, berdisiplin dan cemerlang.

ARTIKEL YANG SAMA