Taklimat Skim SCP bagi pengusaha di sektor informal

Taklimat Skim SCP bagi pengusaha di sektor informal

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, kelmarin, telah mengadakan taklimat mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP), bagi peserta Pesta Ulam-Ulaman dan Pelbagai Tanaman 2015.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TAP, taklimat tersebut adalah salah satu aktiviti yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sempena pesta berkenaan.

Taklimat yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Komunikasi Korporat TAP, Dayang Sri Nazrina binti Haji Johari, dan Pemangku Penolong Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat TAP, Dayang Aidah binti Awang, menyentuh mengenai Skim TAP dan Skim SCP secara am, termasuk manfaat skim berkenaan sebagai simpanan untuk persaraan.

Di samping itu, taklimat turut memfokuskan kepada Skim SCP bagi rakyat dan penduduk tetap yang bekerja di sektor informal, iaitu, bekerja sendiri.

Menurut kenyatan itu, Skim SCP bagi sektor informal membolehkan rakyat dan penduduk tetap yang bekerja sendiri untuk membuat simpanan persaraan secara sukarela ke SCP dengan caruman minima sebanyak $17.50.

Orang ramai membuat pertanyaan di petak TAP semasa pesta itu.
Orang ramai membuat pertanyaan di petak TAP semasa pesta itu.
Taklimat SCP bagi sektor Informal semasa Pesta Ulam-Ulaman dan Pelbagai Tanaman.
Taklimat SCP bagi sektor Informal semasa Pesta Ulam-Ulaman dan Pelbagai Tanaman.

 

Selain daripada menerima manfaat-manfaat seperti ahli SCP yang lain, ahli SCP yang bekerja sendiri juga akan menerima caruman tambahan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebanyak $17.50 sebagai ganti kepada caruman majikan bagi memastikan jumlah minimum sebanyak $35 dapat dipenuhi setiap bulan.

Di samping taklimat, Kempen Mengemas kini Maklumat Ahli turut dijalankan sepanjang acara ini di mana TAP telah membuka petak khususnya bagi ahli-ahli TAP untuk meneliti maklumat mereka serta mendapatkan maklumat-maklumat lanjut tentang perkhidmatan TAP.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat ataupun mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Skim TAP, Skim SCP dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh TAP bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.

ARTIKEL YANG SAMA