Takraw Berpasukan: Gangsa sah milik negara

Takraw Berpasukan: Gangsa sah milik negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Pingat gangsa acara ‘Berpasukan’ Sepak Takraw Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 sah menjadi milik Brunei Darussalam apabila berjaya mara ke separuh akhir tetapi tewas kepada Indonesia.

Brunei Darussalam yang berada dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Singapura mengesahkan kemaraannya ke separuh akhir acara ‘Berpasukan’ selepas menewaskan Singapura petang kelmarin (23 November) walaupun tewas kepada Thailand hari ini kerana Thailand turut mengalahkan Singapura pagi kelmarin (23 November).

Ketika menentang Singapura, regu pertama Brunei Darussalam menang 21-11 dan 21-17, regu kedua negara menang 21-15, 17-21 dan 23-21, manakala regu ketiga menang 21-12 dan 21-17.

Menentang Thailand pagi ini, regu pertama negara kalah 7-21 dan 3-21, regu kedua pula tewas 12-21 (walaupun pada satu ketika mendahului 10-6) dan 9-21, sementara regu ketiga kalah 7-21 dan 12-21.

Aksi pasukan Brunei Darussalam (kelabu) dengan Thailand dalam acara berpasukan sepak takraw ASG7 semalam.
Aksi pasukan Brunei Darussalam (kelabu) dengan Thailand dalam acara berpasukan sepak takraw ASG7 semalam.

pg24_151125_LOGO ASG7

Selaku naib juara Kumpulan A, Brunei Darussalam turun menentang juara Kumpulan B, Indonesia dan pasukan negara tewas dengan kiraan 0-2 iaitu regu pertama kalah 6-21 dan 14-21, manakala regu kedua dikalahkan dengan kiraan 12-21 dan 11-21.

Indonesia akan bertemu dengan Thailand di perlawanan akhir acara berpasukan esok, 25 November bermula pukul 9:00 pagi selepas Pasukan Thailand mengalahkan Malaysia 2-0 dalam separuh akhir pertama selepas regu pertamanya menang 21-14 dan 22-20, manakala regu keduanya menang 21-17 dan 21-11. Walaupun tewas, kedua-dua pasukan yang terkandas di peringkat separuh akhir iaitu Brunei Darussalam dan Malaysia, tidak perlu bersaing merebut pingat gangsa kerana kedua-duanya secara otomatik memenangi pingat gangsa secara bersama.

Sepak Takraw ASG7 Brunei Darussalam 2015 berlangsung di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Rimba II.

ARTIKEL YANG SAMA