Takraw negara sasar kejayaan

Takraw negara sasar kejayaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Meraih kejayaan dan berusaha sedaya upaya untuk mara sekurang-kurangnya hingga ke separuh akhir menjadi matlamat pasukan sepak takraw kebangsaan yang akan beraksi di Kejohanan Sepak Takraw Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur bermula 10 hingga 13 Januari ini.

Perkara itu ditekankan oleh Penolong Jurulatih Regu Sepak Takraw kebangsaan, Awang Jafar bin Mohd Wali dan Pengurus Pasukan Skuad Takraw Kebangsaan, Awang Mohd Isa bin Haji Marsidi ketika ditemui di Kompleks Sukan Menglait ketika pasukan takraw kebangsaan mengadakan latihan di sini.

Mereka juga menambah bahawa jika skuad kebangsaan mampu untuk melangkah daripada matlamat asal, ia merupakan satu ganjaran atas usaha latihan dan semangat juang para pemain.

Barisan pemain yang bakal membawa nama negara dalam persaingan di kejohanan itu terdiri daripada Awang Mohd Selamat Yakub, Awang Mohd Alliffuddin Jamaludin, Awang Abdul Hadi Ariffin Matali, Awang Zatie Hidayat Sardi dan Awang Mohd Syukri Jaineh.

Skuad sepak takraw di bawah bimbingan Jurulatih Rawat Parbchompoo ini akan berlepas ke Kuala Lumpur pada 9 Januari dan akan berhadapan dengan enam pasukan Asia Tenggara antaranya tuan rumah Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, Myanmar dan Filipina.

Barisan pemain sepak takraw yang bakal membawa nama negara di Kejohanan Sepak Takraw PSM 2016 itu nanti.
Barisan pemain sepak takraw yang bakal membawa nama negara di Kejohanan Sepak Takraw PSM 2016 itu nanti.

“Ini penyertaan kita yang pertama dalam kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan melihat kepada persaingan yang ada saya yakin kita boleh melangkah jauh meskipun terdapatnya pasukan gergasi seperti Thailand dan Malaysia,” ujar Awang Jafar.

Menurutnya, latihan intensif bagi kejohanan ini bermula sejak dua bulan lalu memfokuskan kepada stamina, kecergasan dan latih tubi untuk mencapai ke tahap yang dihasratkan jurulatih bagi memikul tugas dalam kejohanan itu nanti.

“Latihan gelanggang turut diberikan perhatian, namun ekoran pertembungan masa dengan musim percutian di hujung tahun lalu membuatkan perlawanan persahabatan ditiadakan, tapi itu bukan penghalang kerana pemain kita yang kini dalam keadaan bersemangat untuk kejohanan ini,” tegasnya lagi.

Suasana latihan skuad kebangsaan di Kompleks Sukan Menglait, kelmarin.
Suasana latihan skuad kebangsaan di Kompleks Sukan Menglait, kelmarin.

pg22_160106_b

Mengulas mengenai pemilihan pemain pula, beliau memberitahu pemain berusia di antara 20-an ke bawah disenaraikan dan terdapat dalam kalangan mereka yang pernah menyandang jersi kebangsaan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Beliau juga berasa syukur kerana setakat ini tiada kecederaan di kalangan pemain dan berharap semoga ia akan kekal sehingga perlawanan terakhir Brunei Darussalam di Kuala Lumpur nanti.

Awang Mohd Isa menambah, “setakat ini kami belum pasti corak pertandingan ini namun pada hari pertama di Kuala Lumpur nanti semua pengurus pasukan akan bermesyuarat bagi penetapan format kejohanan bersama pihak penganjur.”

Pengurus yang kali pertama menyandang tugas berat itu melahirkan perasaan berbesar hati dan berterima kasih mewakili pasukan kebangsaan dan kepada pihak persendirian serta Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) atas tajaan dan sokongan padu untuk memastikan penyertaan negara di pertandingan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA