Takut makhluk halus, lelaki cederakan diri

Takut makhluk halus, lelaki cederakan diri

KUCHING, 3 Jan – Gara-gara berkelakuan pelik menyebabkan seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila bertindak mencederakan dirinya kerana mendakwa menghalang badannya dimasuki makhluk halus.

Insiden berlaku di sebuah premis di Santubong apabila mangsa tiba-tiba mula mengikat tangan serta kaki dan badannya sekitar jam 11 pagi, lapor Utusan Borneo edisi online hari ini.

Rakannya berasa hairan melihat perkara tersebut kemudian cuba menghalang mangsa namun dia memberitahu terpaksa berbuat demikian kerana takut dirasuk.

Bagaimanapun, keadaan mangsa semakin ganas apabila mencederakan dirinya sehingga menyebabkan pendarahan di bahagian mukanya.

“Dia (mangsa) tiba-tiba sahaja mengikat dirinya kerana mendakwa makhluk halus hendak memasuki tubuh badannya dan keadaannya menjadi lebih membimbangkan selepas memberitahu makhluk halus tersebut hendak memasuki tubuh melalui matanya.

“Ketika itu, dia mula mencederakan bahagian mukanya menyebabkan kami segera menghantarnya ke hospital,” kata rakannya.

Setiba di HUS, mangsa telah diberikan rawatan kecemasan dan dipercayai mengalami gangguan mental.

Difahamkan mangsa dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.