Takwa dan zikir, rahsia capai wawasan yang berkat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Takwa dan Zikir adalah dua daripada pelbagai rahsia besar bagaimana mencapai ‘wawasan yang berkat dengan bercontoh kepada Rasulullah S.A.W’ yang akan membawa untung dan tuah bukan sahaja buat diri sendiri malah untuk keluarga dan juga Negara Brunei Darussalam.

Dua rahsia ini telah dijelaskan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Dayangku Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan dalam ceramah khas ‘Berwawasan yang Berkat dengan Bercontoh kepada Rasulullah S.A.W’ semasa Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1438 Hijrah yang telah berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

Mengulas mengenai takwa dalam mencapai ‘wawasan yang berkat’, Dayangku Norhayati berkata, orang-orang yang akan merealisasikan wawasan negara haruslah bertakwa dan takwa adalah hasil daripada iman yang mantap.

Beliau menyatakan lagi bahawa orang yang beriman hatinya selalu ingat Allah S.W.T yang sentiasa melimpahkan kasih dan rahmat-Nya kepada setiap makhluk.

Sesiapa yang melakukan barang yang soleh, perbuatan yang baik tidak kira lelaki atau wanita, jelas beliau, Allah akan memberikannya kehidupan yang baik.

Baginda Raja Isteri dan ahli-ahli kerabat diraja semasa berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1438H yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.
Baginda Raja Isteri dan ahli-ahli kerabat diraja semasa berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1438H yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.

“Nikmat iman wajib dihargai. Dalam keadaan Negara Brunei Darussalam yang aman, alhamdulillah mudah bagi kita mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap. Renungkan cabaran yang dihadapi oleh saudara-saudara Islam di banyak tempat yang terpaksa mempertaruhkan nyawa demi memelihara akidah.”

Beliau juga menyeru agar umat Islam memelihara iman sebagai tanda syukur kepada Allah S.W.T.

“Kita semua menumpang tuah berkat iman orang-orang di Brunei. Bersyukur dengan prasarana dan bantuan kerajaan kepada kita. Pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebajikan semua diberikan perhatian oleh kerajaan. Malulah untuk tidak bersyukur. Malu pada nikmat Allah S.W.T yang sentiasa dikurniakan sejak kita dilahirkan hingga hari kita mati nanti.”

Tambahnya lagi, takwa adalah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah SWT dan menjauhi segala apa yang ditegahNya.

“Orang bertakwa takut akan Allah, sentiasa mencari apa-apa yang perlu diusahakan yang dapat membawa kepada reda Allah. Apabila orang bertakwa menjalankan tanggungjawab untuk mencapai wawasan yang berkat, apa yang akan diperolehi, apa yang kita dapat – berkat dari Allah, nikmat, aman seperti apa yang kita nikmati di negara ini. Kita melaksanakan hukum-hukum Allah.

Dayangku Norhayati semasa menyampaikan ceramah khas, kelmarin.
Dayangku Norhayati semasa menyampaikan ceramah khas, kelmarin.

“Orang yang bertakwa, orang yang taat dan takut kepada Allah mereka adalah orang yang berjaya. Orang yang bertakwa, menjauhi larangan apa yang ditegah oleh Allah. Sempurna agama kita dengan ingat akan Allah,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai Zikir, beliau berkata, Allah S.W.T menjamin keselamatan bagi orang-orang yang akan ingat Allah SWT.

“Orang yang ingat akan Allah akan sentiasa melakukan kebaikan. Orang yang ingat akan Allah ialah orang bertakwa. Orang bertakwa sibuk mencari reda Allah. Takut mengundang murka Allah. Orang bertakwa Allah peliharakan.”

Menurutnya lagi, takwa sebagai perisai dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan dan orang bertakwa juga cukup dengan bantuan Allah S.W.T dan keyakinannya membawa kepada jalan-jalan penyelesaian dengan bantuan Allah.

“Sentiasa ingat kepada Allah. Zikir ada pada tingkah, ada pada kata, ada pada rasa bila kita bersama dengan orang-orang yang ingat kepada Allah.”

Beliau menyeru agar umat Islam selalu beristighfar agar negara ini akan tetap terus maju dipelihara oleh Allah S.W.T.