Takziah Thailand

Takziah Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar perutusan-perutusan takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-Cha berikutan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej.

Di dalam perutusan kepada Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, Baginda berasa sedih mengetahui tentang kemangkatan ayahanda kepada Duli Yang Teramat Mulia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej. Baginda seterusnya menambah dengan komitmen mendalam terhadap kebajikan dan kemajuan negara dan rakyat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej telah memperlihatkan tauladan yang sebenar sebagai seorang pemimpin yang hebat.

Dedikasi dan rasa kasih sayang Baginda kepada rakyatnya bukan sahaja berjaya menambat hati rakyat Thailand tetapi juga telah berjaya meraih penghormatan dan dikagumi di peringkat antarabangsa.

Dalam pemerintahan Baginda lebih dari 70 tahun, Thailand telah menikmati kemajuan sosioekonomi yang pesat. Bapa kepada Negara Thai itu akan sentiasa dikenang bukan sahaja oleh mereka yang mengenali Baginda secara peribadi tetapi jua oleh seluruh rakyat jelata.

Manakala dalam perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-Cha, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej akan sentiasa dikenang bagi usaha dalam memperbaiki kesejahteraan rakyat Baginda.

Raja Bhumibol Adulyadej, mangkat pada usia 89 tahun. – AFP
Raja Bhumibol Adulyadej, mangkat pada usia 89 tahun. – AFP

Projek-projek inovasi pertanian, persekitaran, kesihatan dan pendidikan telah memberikan kemanfaatan kepada seluruh negara. Wawasan Baginda terhadap Suffiency Economy adalah merupakan inspirasi global yang berpusatkan kepada rakyat dan pembangunan insan.

Bagi mengakhiri perutu-san kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan Jeneral Prayut Chan-o-Cha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat Baginda, kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang amat mendalam kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan kerabat diraja serta Jeneral Prayut Chan-o-Cha, kerajaan serta rakyat Thailand pada saat yang menyedihkan ini.

Sementara itu, agensi berita Bernama melaporkan bahawa berita kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej, di Hospital Siriraj hari ini, di-umumkan oleh Biro Diraja Thailand.

Baginda, merupakan raja paling lama memerintah di dunia, memimpin kerajaan Thailand selama 70 tahun sejak menaiki takhta pada 1946, mangkat pada jam 3:52 petang ketika usia 89 tahun.

Menurut kenyataan biro itu, baginda menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 3 Oktober 2014.

“Secara beransur-ansur keadaan Baginda bertambah teruk sehingga Baginda menghembuskan nafas terakhir pukul 3:52 petang di Hospital Siriraj. Baginda berusia 89 tahun dan menduduki takhta selama 70 tahun,” menurut kenyataan itu.

Menurut media tempatan, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan tiga adindanya berada di hospital berkenaan. Ribuan rakyat Thailand memakai pakaian berwarna merah jambu dan kuning telah berpusu-pusu datang dan berkumpul di luar perkarangan hospital sejak semalam bagi mendoakan kesihatan raja kesayangan mereka.

Sementara itu Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-Cha juga mengumumkan bahawa tiada acara berpesta diadakan selama 30 hari mulai esok dan semua rakyat perlu memakai pakaian perkabungan selama setahun.

Dalam tradisi Thailand, pa-kaian perkabungan adalah berwarna gelap atau hitam.

Mengenai istiadat pemakaman, Kabinet akan mengumumkan kemudian, katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, menyebut bendera Thailand di semua bangunan pejabat, syarikat milik kerajaan dan agensi kerajaan dikibarkan separuh tiang selama 30 hari bermula esok.

Tempoh perkabungan untuk penjawat awam dan semua petugas agensi kerajaan ditetapkan selama setahun mulai esok. Kenyataan itu menyebut tempoh perkabungan bagi rakyat biasa terpulang kepada pertimbangan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA