Taliban bunuh 14 pengawal

Taliban bunuh 14 pengawal

KABUL, Afghanistan, 20 Jun (AP) – Seorang pengebom berani mati Taliban membunuh 14 orang pengawal keselamatan Nepal dalam satu serangan hari ini ke atas bas mini yang mereka naiki di bandar Afghan, Kabul, menurut seorang pegawai keselamatan Afghanistan dan Kementerian Dalam Negeri.

Pengawal keselamatan Nepal itu dalam perjalanan menuju ke Kedutaan Kanada tempat mereka bekerja sebagai pengawal, menurut seorang lagi pengawal warga Nepal yang tercedera dalam serangan itu.

Itu adalah serangan terbaru oleh Taliban, yang meningkatkan serangan termasuklah di bandar Afghanistan itu sebagai sebahagian dari serangan musim panas mereka.

Para pemberontak kerap menyasarkan kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan Afghanistan di seluruh negara.

Di kawasan lain di Afghanistan, sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal membunuh lapan orang awam Afghanistan ketika waktu pagi yang sibuk di sebuah wilayah di timur laut.

Kanak-kanak Afghanistan melihat bas mini yang diserang oleh seorang penyerang berani mati di Kabul pada 20 Jun. – AFP
Kanak-kanak Afghanistan melihat bas mini yang diserang oleh seorang penyerang berani mati di Kabul pada 20 Jun. – AFP

Dan kemudian pada hari ini di Kabul, pengeboman kedua Taliban membunuh seorang awam Afghanistan dan mencederakan lima orang, termasuklah anggota majlis wilayah itu yang menjadi sasaran yang dihasratkan dalam serangan itu, menurut pihak berkuasa.

Dalam pengeboman yang membunuh pengawal Nepal, pengebom berjalan kaki apabila dia menyerang bas mini itu, menurut Jeneral Abdul Rahman Rahimi, ketua polis bandar itu. Dia tidak mengenal pasti syarikat keselamatan luar tempat pengawal itu bekerja.

Satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa kesemua 14 yang terbunuh adalah warganegara Nepal dengan menyifatkan serangan itu sebagai angkara ‘pengeboman berani mati pengganas.” Menurutnya letupan itu juga mencederakan sembilan orang, lima orang kakitangan warga Nepal dan empat orang awam Afghan.

Amrit Rokaya Chhetri, pengawal Nepal yang tercedera dalam serangan itu memberitahu The Associated Press bahawa mereka sedang dalam perjalanan menuju Kedutaan Kanada apabila letupan berlaku.

“Ramai yang mati,” Chhetri berkata dari hospital tempat dia dirawat, dengan keadaan kepalanya berbalut. “Saya telah memberitahu kepada keluarga saya, saya ok dan saya akan pulang ke rumah.”

Abdullah Abdullah, ketua pegawai eksekutif negara itu, menyelar serangan itu dalam Twitter dengan menyatakan “Serangan ini adalah tindakan ganas dan ugutan.”

ARTIKEL YANG SAMA