Taliban rampas ibu pejabat di wilayah Farah

KABUL, Afghanistan, 12 Mac – Taliban menakluki ibu pejabat di wilayah barat Farah, Afghanistan awal hari ini, membunuh dan mencederakan kira-kira 15 anggota pasukan keselamatan, menurut seorang pegawai wilayah.

Fared Bakhtawer, ketua majlis wilayah berkata Taliban menyerang polis dan pejabat-pejabat pentadbiran daerah Anardara dari hala-hala berbeza awal pagi. Maklumat awal tidak memberikan huraian tentang kematian dan kecederaan, namun pertempuran di sana masih berlangsung, ujarnya.

Bakhtawer berkata “Ibu pejabat daerah Anardara di bawah kawalan pemberontak dan sekarang ini, pertempuran tegang sedang berlaku sekitar pusat daerah dan pejabat-pejabat kerajaan.”

Taliban segera mengaku bertanggung jawab atas serangan itu, dengan jurucakap Taliban, Qari Yusouf Ahmadi berkata dalam satu kenyataan kepada media bahawa mereka adalah dalang disebalik serangan itu. Baru-baru ini para pemberontak telah meningkatkan serangan ke atas pasukan-pasukan keselamatan Afghanistan di seluruh wilayah Farah. Pada hujung minggu, serangan Taliban telah mengorbankan tujuh orang komando tentera dan lapan orang anggota polis di daerah Bala Buluk. – AP