Taliban sasar konvoi NATO

Taliban sasar konvoi NATO

KABUL, 11 Okt – Seorang pengebom berani mati Taliban menyasarkan konvoi NATO di pusat bandar Kabul hari ini, mencetuskan letupan kuat dalam serangan yang berlaku beberapa hari selepas kumpulan militan menakluki bandar utara.

Pengeboman yang berlaku pada hari sibuk itu telah mengakibatkan asap tebal, dan mencederakan sekitar tiga orang awam termasuk seorang kanak-kanak ketika Taliban mempertingkatkan serangan ke atas kerajaan dan menyasarkan warga asing.

Pegawai keselamatan mengepung kawasan tersebut tatkala ambulans dengan bunyi siren bergegas ke tempat kejadian, yang berselerak dengan bangkai kenderaan, menurut seorang jurugambar AFP.

“Letupan berlaku di kawasan Joy Shir di bandar Kabul. Ia adalah satu serangan berani mati yang menyasarkan konvoi tentera asing,” beritahu jurucakap polis Kabul Ebadullah Karimi kepada AFP.

Sementara itu, seorang jurucakap NATO di Kabul telah mengesahkan konvoi mereka diserang tetapi berkata gabungan antarabangsa masih mengumpul maklumat lanjut.

Taliban dalang di sebalik pengeboman itu, beritahu jurucakap kumpulan Zabihullah Mujahid kepada AFP.

“Satu konvoi tentera asing diserang oleh mujahideen di kawasan Joy Shir bandar Kabul. Dua daripada kenderaan mereka rosak dan semua orang yang menaiki kenderaan terbunuh,” kata beliau.

Taliban, disingkirkan daripada kuasa dalam serangan pimpinan AS 2001 di Afghanistan, adalah terkenal kerana memperbesar-besarkan dakwaan peperangan.

Pemberontak telah mempertingkatkan serangan di sekitar Afghanistan sejak mereka melancarkan serangan musim panas tahunan mereka pada akhir April.

Militan menakluki bandar utara strategik Kunduz pada akhir September, dalam kemenangan terbesar mereka dalam 14 tahun. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA