Taliban serang Kabul

Taliban serang Kabul

KABUL, 19 April (AFP) – Kira-kira 28 orang terkorban dan ratusan lagi cedera apabila sebuah trak Taliban dengan muatan bom meledak di tengah Kabul hari ini, mencetuskan pertempuran senjata sengit, seminggu selepas pemberontak melancarkan serangan tahunan mereka.

Taliban mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu di kawasan kejiranan yang sesak yang mengakibatkan gumpalan asap pedas menyelubungi ruang udara dan memecahkan cermin yang jauhnya beberapa kilometer.

Serangan nekad itu berlaku berhampiran kementerian pertahanan menandakan serangan besar pertama Taliban di bandar Afghanistan sejak pemberontak mengumumkan permulaan musim pertempuran tahun ini.

“Salah satu penyerang berani mati telah meletupkan trak yang dipenuhi bahan letupan di lot letak kereta awam berhampiran bangunan kerajaan,” ketua polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi memberitahu para wartawan.

“Akibatnya, 28 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.Penyerang kedua bertempur dengan pasukan keselamatan dalam pertarungan senjata sebelum berjaya ditumpaskan.”

Pasukan keselamatan Afghanistan memeriksa tapak serangan maut yang didakwa oleh kumpulan berani mati Taliban di Kabul, Afghanistan, Kelmarin. – AP
Pasukan keselamatan Afghanistan memeriksa tapak serangan maut yang didakwa oleh kumpulan berani mati Taliban di Kabul, Afghanistan, Kelmarin. – AP

Rahimi mengatakan serangan itu juga mengakibatkan kira-kira 183 orang cedera namun kementerian kesihatan mengatakan bilangannya hampir 330, dengan kebanyakannya mengalami cedera parah di hospital.

Pertempuran senjata itu kelihatannya terhenti beberapa jam selepas letupan besar, namun beberapa para pegawai keselamatan menyatakan kebimbangan, kemungkinan terdapat pengebom lain yang mungkin masih lepas.

Kementerian dalam negeri mengutuk serangan itu sebagai ‘jenayah perang’ dan menjamin untuk menjejaki dalangnya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa pejuang mereka berjaya memasuki pejabat Direktorat Keselamatan Kebangsaan, agensi perisikan utama.

Para pegawai Afghanistan menafikan sasaran serangan itu adalah pejabat kerajaan yang bertanggungjawab bagi menyediakan keselamatan kepada VIP kerajaan.

“Kami mengutuk keras terhadap serangan pengganas itu dalam serangan di kejiranan Puli Mahmood Khan, Kabul, akibatnya orang kita terkorban dan cedera,” kata Presiden Ashraf Ghani dalam satu kenyataan.

“Serangan pengganas yang pengecut itu tidak akan melemahkan kehendak dan keazaman pasukan keselamatan Afghan untuk memerangi pengganasan.”