Taliban serang universiti, 21 maut

Taliban serang universiti, 21 maut

CHARSADDA, Pakistan, 20 Jan – Kira-kira 21 orang meninggal dunia dalam satu serangan Taliban ke atas sebuah universiti di Pakistan hari ini, yang mana para saksi melaporkan dua letupan besar berlaku ketika pasukan keselamatan bergerak di bawah kabus tebal untuk menumpaskan pertumpahan darah itu.

Bilangan yang terkorban meningkat selepas lelaki bersenjata menyerbu universiti Bacha Khan di Char-sadda, kira-kira 50km (30 batu) dari bandar Peshawar, dalam keberangan terkini yang melanda rantau yang dipenuhi dengan militan.

Polis, tentera dan pasukan khas menyerbu universiti dari daratan dan udara dalam bidaan untuk menumpaskan serangan itu, ketika imej televisyen menunjukkan para pelajar perempuan berlari menyelamatkan diri mereka.

“Jumlah korban jiwa dalam serangan pengganas telah meningkat kepada 21 orang,” ketua polis serantau Saeed Wazir memberitahu AFP beberapa jam selepas amaran pertama dibunyikan.

Kakitangan keselamatan Pakistan melihat mayat militan di universiti Bacha Khan berikutan serangan di Charsadda, kira-kira 50km dari Peshawar pada 20 Januari. - AFP
Kakitangan keselamatan Pakistan melihat mayat militan di universiti Bacha Khan berikutan serangan di Charsadda, kira-kira 50km dari Peshawar pada 20 Januari. – AFP

Menurutnya operasi itu telah berakhir dan pasukan keselamatan telah mengosongkan kawasan itu, dengan kebanyakan mangsa yang terdiri daripada pelajar telah ditembak mati di hostel lelaki.

“Lebih 30 yang lain termasuk para pelajar, kakitangan dan pengawal keselamatan cedera,” tambahnya.

Pegawai kecemasan Bilal Faizi menggambarkan melihat lima mayat, semuanya dengan luka peluru.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Bajwa mengatakan dalam Twitter bahawa empat penyerang telah dibunuh.

“Terkini: Penembak hendap membunuh dua lagi pengganas di atas bumbung, jumlah pengganas yang terbunuh sejauh ini empat orang. Semua bangunan dan atas bumbung diambil alih oleh tentera. Operasi diteruskan,” tulisnya pada awal kejadian.

Ia tidak jelas jika keempat pengganas itu termasuk dalam jumlah 21 orang yang diberikan oleh ketua polis Wazir.

Taliban Pakistan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

“Empat penyerang nekad kami menjalankan serangan ke atas Universiti Bacha Khan hari ini,” Umar Mansoor, seorang komander kumpulan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TPP) memberitahu AFP.

Bercakap menerusi telefon dari lokasi tidak didedahkan, katanya ia adalah respons atas serangan tentera ke atas pelampau di kawasan puak.

Seorang pelajar bercakap mengenai salah seorang guru yang menjadi hero – dinamakan media sebagai Syed Hamid Hussain – melawan dan menentang penceroboh dengan mengeluarkan senjatanya untuk membalas serangan.

Pelajar Geologi Zahoor Ahmed mengatakan pensyarah kimianya telah memberinya amaran untuk tidak meninggalkan bangunan itu selepas tembakan pertamanya dilepaskan.

“Dia memegang pistolnya di tangan,” ujarnya.

“Kemudian saya menyaksikan dia ditembak. Dua militan menembak. Saya berlari ke dalam dan berjaya melarikan diri dengan melompat ke dinding belakang.” Pelajar lain memberitahu wartawan televisyen yang dia berada di dalam kelas apabila terdengar bunyi senjata.

“Kami melihat tiga pengganas menjerit, ‘Allahuakbar’ dan berlari ke arah tangga jabatan kami,” katanya.

“Salah seorang pelajar melompat keluar dari bilik kuliah menerusi tingkap. Kami tidak melihat dia berdiri semula.”

Dia juga menggambarkan melihat profesor kimia memegang pistol dan menembak ke arah penyerang.

“Kemudian kami melihat dia tumbang dan ketika pengganas memasuki pejabat pendaftar, kami terus melarikan diri.”

Presiden Pakistan, Mamnoon Hussain mengesahkan pensyarah itu, Dr Hamid, telah meninggal dunia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA