Taliban tawan daerah penting, 19 maut

Taliban tawan daerah penting, 19 maut

KABUL, 21 Jun (Reuters) – Sebutir bom di pinggir jalan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang awam Afghanistan, termasuklah sembilan orang kanak-kanak di wilayah selatan, sementara para pejuang Taliban di utara menawan sebuah daerah penting di barisan hadapan pertempuran bagi bandar Kunduz, menurut para pegawai hari ini.

Keganasan terus menerus di Afghanistan sejak kebanyakan pasukan asing berundur pada akhir tahun lalu.

Para pemberontak semakin mendesak untuk merampas wilayah dari pasukan keselamatan Afghanistan yang dilatih NATO lebih 13 tahun selepas campur tangan ketenteraan yang diketuai AS yang menggulingkan Taliban daripada terus berkuasa.

Di wilayah selatan Helmand, pegawai polis Haji Janan Aqa berkata 19 orang, termasuklah sembilan orang kanak-kanak dan lapan orang wanita, terbunuh pada malam semalam. Menurutnya lima orang tercedera.

Tambahnya lagi, penduduk kampung baru-baru ini lari daripada pertempuran di daerah Marjah dan cuba untuk pulang ke rumah.

“Mereka mahu pulang ke kampung mereka, tetapi van mereka terkena bom di pinggir jalan yang tanam oleh Taliban,” kata Aqa.

Seorang saksi Reuters berkata kesemua kanak-kanak yang terbunuh di tempat kejadian berusia di bawah lima tahun.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab di atas pengeboman itu. Taliban lazimnya menafikan menyasarkan orang awam, meskipun taktik mereka menanam bom pinggir jalan dengan keras dikritik oleh PBB.

ARTIKEL YANG SAMA