Taliban tolak rundingan damai Afghanistan

Taliban tolak rundingan damai Afghanistan

KABUL, 6 Mac (Reuters) – Taliban semalam berkata ia tidak akan menyertai rundingan damai yang mana perwakilan dari Afghanistan, Pakistan, China dan AS menjadi pihak perantaranya, yang menimbulkan keraguan pada usaha-usaha untuk menghidupkan semula rundingan.

Taliban, yang disingkirkan dari berkuasa dalam campur tangan tentera yang diketuai AS pada tahun 2001 telah melancarkan pemberontakan ganas untuk cuba menggulingkan kerajaan Afghanistan yang disokong pihak Barat dan menubuhkan semula rejim Islam fundamentalis.

Ekoran mesyuarat kumpulan yang digelar Kumpulan Penyelarasan Empat Hala yang terdiri dari perwakilan empat negara di Kabul pada Februari lalu, para pegawai berkata mereka menjangkakan rundingan damai langsung antara kerajaan Afghanistan dan Taliban untuk bermula awal Mac.

Namun Taliban, yang menggelar dirinya Emiriah Islam Afghanistan, menafikan ia akan menyertai dalam sebarang rundingan akan datang di Islamabad.

“Kami menolak semua berita angin itu dan dengan jelas menyatakan bahawa ketua Emiriah Islam tidak membenarkan sesiapa untuk menyertai mesyuarat ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Emiriah Islam sekali lagi mengulangi bahawa melainkan pendudukan Afghanistan berakhir, senarai hitam dihapuskan dan para tahanan yang tidak bersalah dibebaskan, rundingan mengelirukan yang sia-sia seumpama itu tidak akan membuahkan sebarang hasil,” tambahnya.

Penolakan itu ekoran usaha untuk menghidupkan semula rundingan yang gagal tahun lalu ekoran pengumuman kematian pengasas Taliban dan ketua lama Taliban, Mullah Mohammed Omar kira-kira dua tahun sebelumnya.

Jabatan Negara As menggesa gerakan Islam itu datang ke meja rundingan, dengan mengatakan sekutu-sekutu Afghanistan akan terus menyokong kerajaan Kabul ketika ia memerangi pemberontakan.

“Taliban mempunyai pilihan untuk menyertai rundingan berniat baik bagi perdamaian atau terus berperang yang mana mereka membunuh rakan senegara Afghanistan mereka dan memusnahkan negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Jika mereka memilih untuk terus berperang, mereka akan terus berdepan usaha bersekutu pasukan keselamatan Afghanistan dan rakan-rakan antarabangsa mereka,” menurutnya lagi.

Ketua baru Mullah Akhtar Mansour telah meletakkan syarat awal bagi menyertai sebarang rundingan ketika dia berusaha mengatasi persaingan sesama sendiri antara puak, dengan beberapa kumpulan yang sudah berpisah membantah sebarang rundingan.”

ARTIKEL YANG SAMA